≡ Menu

Rumah Iklim Sederhana Empat Musim Terbiar Usang

Rumah Iklim Sederhana Empat Musim

Assalamualaikum wrt wbt dan salam sejahtera

Saya sebagai masyarakat perihatin ingin meminta perhatian YB Menteri berkenaan tentang isu Rumah Iklim Sederhana Empat Musim, di Taman Botani Negara Shah Alam.

Untuk makluman YBM, Rumah Empat Musim telah ditubuhkan sekian lama hasil ilham dan cetusan idea daripada YAB Tun Mahathir Mohamad demi memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk merasai suasana empat musim. Selain itu, Rumah Empat Musim juga memberi satu pengalaman yang berharga kepada rakyat Malaysia dengan keindahan pokok-pokok sebenar yang ditanam seperti di luar negara. Untuk makluman YBM juga, pokok-pokok di dalam Rumah Iklim sebenarnya tumbuh seiring dengan pertukaran musim sejuk, bunga, panas dan luruh hampir bertahun lamanya seperti di negara-negara empat musim. Penubuhan Rumah Empat Musim juga adalah bertujuan bagi memberi pendidikan dari segi botanikal serta sistem teknikal dan kejuruteraan. Rumah Empat Musim sentiasa menjadi tarikan kerana keistimewaannya ini tiada di negara lain. The only one orang kata.

BACA:  Pembinaan 'Flyover' di Bandar Saujana Putra

Setelah berpuluh tahun berlalu, keadaan Rumah Iklim sangat menyedihkan kini dengan keadaan bangunan yang tidak diselenggara serta pokok-pokok tidak diurus dengan baik oleh pihak Taman Botani. Untuk makluman YBM, kini Rumah Iklim ditutup kerana masalah bekalan elektrik dan tiada ‘back up’ bagi membekal tenaga elektrik yang cukup kepada Rumah Iklim. Jika keadaan ini berlarutan, mungkin akan memberi kesan kepada pokok yang sedia ada dan sedih untuk saya ungkapkan mungkin tempat ini akan ditutup selama-lamanya.

Justeru, tiada lagi tempat untuk rakyat marhein yang kurang berkemampuan merasai suasana seperti luar negara bilamana Rumah Empat Musim ini ditutup. Buat pengetahuan YBM juga Rumah Empat Musim ini pernah diiktiraf di dalam Malaysian Book of Record. Namun nasib Rumah Iklim ini ibarat hidup segan mati tak mahu disebabkan kelalaian dan ketidak sungguhan Taman Botani menguruskannya. Perkara ini sangat memalukan dan tidak masuk akal.

BACA:  Projek Mega Kampung Sim Sim Sandakan
Rumah Iklim Sederhana Empat Musim Luar

Menjadi persoalan adakah penutupan Rumah Empat Musim ini berkaitan dengan pemotongan bajet di pihak kementerian atau masalah dalaman pengurusan di pihak Taman Botani? Belum lagi setahun pemerintahan kerajaan baru, pelbagai masalah telah berlaku. Inikah janji perubahan untuk Malaysia baru yang dilaungkan semasa PRU lalu?

Besar harapan saya untuk melihat satu-satunya khazanah yang ada ini dipelihara dan dijaga dengan baik demi terus menjadi tarikan masyarakat Malaysia dan pelancong. Perhatian dan tindakan dari YBM amatlah diharapkan. Saya akhiri dengan ucapan terima kasih. SELAMATKANLAH RUMAH IKLIM DEMI KELESTARIAN PELANCONGAN NEGARA.

– Rakyat Perihatin

Hantar aduan anda di sini: www.aduanrakyat.com.my/hantar-aduan