Assalamualaikum,
Syabas kepada Aduan Rakyat TV3 atas inisiatif ini. Saya gembira kerana ada saluran lain untuk kami sebagai rakyat marhaen mengadu ketidak adilan dalam pelaksanaan rancangan kerajaan, atau ketidak sempurnaan dalam usaha memajukan rakyat, yang kebanyakannya hanya bertepuk sebelah tangan. Terima kasih.
Saya pasti, kami di Sarawak juga berstatus rakyat Malaysia, meskipun dipisah laut dengan Tanah Semenanjung.
Pihak Aduan Rakyat,
Kami di Samarahan sudah menikmati jalan utama yang menghubungkan kawasan penduduk berkapasiti tinggi dengan bandar utama kami: Kuching. Jalan Kuching-Samarahan-Asajaya Expressway ini, meskipun dibungai oleh bulatan demi bulatan dari Asajaya ke Bandaraya Kuching, menjadi jalan utama yang pasti akan ‘jam’ sejauh lebih 5km setiap hari.
Video ‘jam’ ini sudah banyak kali dikongsi di laman sosial. Namun ia hanya menjadi hiasan. Tiada yang mahu peduli.
Namun, masalah ‘jam’ ini terlalu besar untuk Aduan Rakyat membantu.
Masalah utama kami adalah jalan ini tidak berlampu lebih 5km bermula dari bulatan Summer Mall, sehingga ke Asajaya. Pengguna jalan raya ini mencecah ribuan setiap hari, sekecil motorsikal kapcai sehingga sebesar-besar lori kontena 40 kaki untuk bekalan kilang perindustrian kecil Samarahan.
Dengan ketiadaan lampu ini, pengguna motorsikal terutamanya menghadapi masalah berdepan jalan gelap atau lebih payah, lampu tinggi (high beam) dari kenderaan arah bertentangan. Sudah berpuluh kemalangan jalan raya melibatkan pembonceng motorsikal sehingga ada yang meninggal di tempat kejadian, atau yang lebih sengsara, lumpuh. Ini termasuklah saudara saya yang koma beberapa hari di hospital kerana melanggar kereta yang berhenti di bahu jalan. Nah, kalau ada sebutir lampu pun setiap satu kilometer, atau setiap persimpangan di jalan itu, saya pasti, ini boleh dielakkan.
BACA: Projek Mega Kampung Sim Sim Sandakan
Aduan sudah diutarakan kepada YB Rubiah Wang namun, semacam menyiram air ke daun keladi, tebu di tepian bibir sudah pun masak dan dibuat air tebu rasanya. Janji hanya tinggal janji. Kami rakyat hidup tiada dipeduli.
Saya mewakili rakyat Samarahan, juga rakyat Sarawak, dan pastinya rakyat Malaysia jualah, memohon agar aduan lampu ini diambil kira untuk pihak Aduan Rakyat.
Bukan selalu berita kami di Sarawak dipaparkan, benar? Selain gambaran orang utan dan tarian ngajat di TV, pasti ini suatu berita yang baik untuk anda.
Terima kasih.
Hantar aduan anda di sini: www.aduanrakyat.com.my/hantar-aduan