Saya merupakan seorang kakitangan awam yang bekerja di sekitar daerah Kuala Perlis dan tinggal di Kangar. Setiap hari saya akan melalui lebuhraya yang menyambungkan Kangar dan Kuala Perlis untuk ketempat kerja selepas menghantar isteri ke pejabat beliau di Kangar.

Apa yang menarik perhatian saya ialah beberapa individu yang berpakaian “memantul cahaya” berwarna hijau yang menunggu di simpang-simpang dan tepi jalan sepanjang perjalanan ke Kuala Perlis, mereka menunggu kenderaan-kenderaan pelancong dari luar negeri Perlis lalu dihadapan mereka, dan mereka akan mengejar kenderaan itu, dan mengajak atau “menarik” kereta itu untuk mengikuti mereka ke kawasan letak kereta BERBAYAR.

Yang lebih menarik, di baju “memantul cahaya” mereka tercetak MPKPs atau Majlis Perbandaran Perlis. Lalu saya segera menelefon pihak berwajib itu sendiri, di talian aduan MPKPs 049762188 dan bertanya tentang hal ini.

Jawapan dari pihak MPKPs amat mengejutkan; penarik-penarik kereta itu sebenarnya merupakan ULAT-ULAT PARKING HARAM yang menyalahgunakan baju “pemantul cahaya” pemberian MPKPs kepada mereka untuk mengutip sewa tapak pada asalnya, disalahgunakan untuk mendapat “KEKEBALAN” kononnya diberikan pihak MPKPs.

Untuk pengetahuan pihak ADUAN RAKYAT, tempat letak kereta yang tidak diketahui status “kehalalannya”, seakan-akan kebal dari tindakan pihak berkuasa tempatan, kerana PBT sendiri tidak dapat mengatasi kekuasaan kepala-kepala samseng yang menjaga tempat letak kereta ini.

Malahan keselamatan kereta yang meletak kenderaan di parking-parking ini amat membimbangkan, kerana kawasan parking ini sentiasa dikunjungi oleh individu-individu yang boleh dipersoalkan moralitinya.

“Pemilik” parking juga mengenakan bayaran RM10 sehingga RM15 untuk sehari kepada pelancong-pelancong yang meletakkan kereta untuk ke Pulau Langkawi. Pelancong tiada pilihan lain berikutan tiada ruang untuk meletak kereta kerana tempat letak kereta yang disediakan PBT juga telah berpindah milik ke tangan “kongsi” yang berkuasa.

Saya harap pihak ADUAN RAKYAT dapat membongkar kegiatan ini, demi menkaga nama baik MPKPs sendiri dan juga nama Negeri Perlis yang indah ini juga. Kerana tindak-tanduk individu sebegini dapat memberi presepsi negatif kepada para pelancong tempatan dan luar negara, lalu merosakkan imej negara kita juga.

By: SBT

PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan (di atas) dan komen (di bawah) yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.