Jalan raya Kuala Lumpur tidak secantik bandarnya

Isu mengenai jalan raya rosak dan tidak berkualiti sudah lama berlaku di sekitar Kuala Lumpur. Lebih dikesalkan jalan-jalan utama yang menjadi laluan pengguna ke tempat kerja sering kali mengalami masalah yang sama. Ini sangat membahayakan kepada para pengguna lebih-lebih lagi kepada penunggang motosikal. Pihak yang terlibat sewajarnya memberi perhatian kepada kualiti jalan raya khususnya kawasan jalan yang berlubang dan tidak rata.

Pelbagai pihak telah menyuarakan hal ini tetapi walaupun tindakan diambil oleh pihak berkenaan, ternyata tindakan yang diambil untuk memperbaiki keadaan jalan ternyata bertahan sementara. Jalan yang diturap akan berlubang kembali apabila sering digunakan dan lopak akan terjadi apabila hujan. Ternyata kualiti jalan tidak kekal lama dan usaha turapan oleh pihak kontraktor hanyalah pembaziran. Adakah kontranktor hanya mengaut keuntungan dengan memberikan khidmat yang kurang memuaskan. Sepatutnya Jabatan Kerja Raya memastikan kontraktor memenuhi syarat-syarat dan spesifikasi sebelum membenarkan mereka membaik pulih sesetengah kawasan.

Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) pernah mengulas lanjut mengenai isu ini. Beliau menyarankan kepada agensi yang terlibat khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan kualiti turapan jalan mengikut piawaian sewajarnya. Beliau berpendapat tender-tender hanya perlu diberi kepada syarikat yang bertauliah dan pengawasan kualiti perlu dilaksanakan sepanjang tempoh perkhidmatan.

Pengguna jalan raya sering kali mengeluh mengenai keadaan jalan raya yang rosak. Ia mengundang bahaya kerana kenderaan sering kali mengelak dari terlanggar lubang. Jalan yang diturap berkali-kali betul-betul merugikan. Manakan tidak, baru sahaja dalam sebulan jalan ditampal, sudah mula berlopak kembali. Sungguh memalukan Kuala Lumpur yang pesat membangun dengan bangunan pencakar langit dan juga lebuhraya bertingkat tetapi pada zahirnya penduduk mengeluh kerana terpaksa menghadapi masalah ini di jalan-jalan utama sekitar perumahan. Barangkali tiada pelancong datang ke kawasan ini, jadi ia boleh menyembunyikan imej buruk yang dihadapi. Kawasan-kawasan tumpuan pengangkutan ke ibu kota seperti Wangsa Maju, Setiawangsa, Taman Melawati, Keramat dan yang berdekatan mengalami masalah yang sama. Sepatutnya tumpuan sewajarnya perlu diberi kepada kawasan-kawasan ini kerana ia merupakan jalan menghubung ke lebuhraya DUKE dan juga MRR2. Setiap hari jalan-jalan ini menerima kuantiti kenderaan yang banyak melaluinya. Pemantauan seharusnya digiatkan untuk mengelak sebarang kemalangan.   

Kerajaan berkuasa untuk menyenaraihitamkan kontraktor yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Apa yang berlaku sudah lama disedari oleh pengguna tetapi sampai bila keadaan ini akan terus berlaku? PBT and JKR seharusnya lebih peka dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum keadaan ini menjadi lebih teruk. 

By: Fatin Liana