Cacing dalam fresh salad di Pizza Hut

Pada 23/11/13 @ 9.30pm, saya bersama suami makan Pizza Hut di kawasan Nilai. Suami order fresh salad dan makan macam biasa. Saya order pizza dan spaghetti. Tiba-tiba suami berhenti makan kerana kelihatan cacing yang masih hidup ada dalam pinggan salad yang kami order tadi. Saya memang geli dan rasa nak muntah. Terus berhenti makan sebab mati selera melihat cacing yang bergerak dalam pinggan salad tadi.

cacing-pizza-hut-1

 

Kami tidak menjerit atau panik kerana keadaan malam minggu ramai orang datang dan sedang menjamu selera. Suami panggil staff pizza untuk datang melihat apa yang ada dalam pinggan salad dan staff tersebut terus memanggil ketua beliau. Seorang staff wanita datang mohon maaf atas kecuaian pihak mereka. Alasan yang diberikan sayur datang dari ladang dalam kuantiti yang banyak mungkin proses pembersihan tidak dijalankan dengan betul.

Kami sempat menulis dalam buku aduan mereka dan membayar semua menu yang kami makan kecuali fresh salad. Ini kali pertama suami order salad dan mungkin kali terakhir untuk kami makan pizza hut. Cukuplah sekali terkena dan ia amat menjijikan.

Saya harap aduan ini dapat beri pengajaran pada pihak terlibat dan kejadian sama tidak berulang lagi.

cacing-pizza-hut-2

cacing-pizza-hut-3

cacing-pizza-hut-4

By: Noor Juliana Tusin

Soalan bocor Matematik dan Matematik Tambahan SPM 2013

Segelintir pelajar yang menduduki peperiksaan spm 2013 telah mendapat soalan bocor bagi mata pelajaran matematik dan matematik tambahan dan perkara ini telah menbimbangkan para pelajar cemerlang yang selalunya memperoleh markah ‘A’ dalam kedua mata pelajaran tersebut.

Dengan ini, bagaimanakah Lembaga Peperiksaan dapat menilaikan bahawa pelajar itu adalah pelajar yang mahir iaitu biasanya dapat “A’ atau yang kurang mahir iaitu tidak pernah lulus bagi kedua mata pelajaran tersebut.

Oleh itu,sebagai penyelesaian bagi masalah ini pihak Lembaga Peperiksaan perlu mentafsirkan markah-markah yang telah diperoleh oleh pelajar-pelajar SPM dalam setiap peperiksaan yang telah diadakan oleh pihak sekolah terutamanya bagi Peperiksaan Percubaan SPM 2013. Hal ini demikian kerana, perkara ini dapat mengatasi masalah kebocoran soalan peperiksaan SPM 2013.

Harap perkara ini dititikberatkan oleh pihak Lembaga Peperiksaan dan tidak mengecewakan murid-murid yang sentiasa cemerlang.

By: MAHES

Masalah Air di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah

Assalamualikum/ Salam Sejahtera,

Saya adalah salah seorang penjaga kepada pelajar di Kolej Matrikulasi Kuala Pilah. Mohon pihak Kementerian Pelajaran Malaysia/ Negeri, Majlis Daerah Kuala Pilah, Jabatan Bekalan Air dan yang terbabit melihat secara serius Masalah Air yang dihadapi oleh pelajar di kolej matrikulasi tersebut. . Masalah yang telah berlanjutan sekian lama menyebabkan pelajar2 mengadu kepada ibu bapa/ penjaga.

Keadaan bertambah serius sejak kebelakangan ini dan pihak Kolej Matrikulasi/ terbabit hanya mampu membekalkan air yang tercemar kepada para pelajar. Ada pelajar terpaka keluar hingga ke Kuala Lumpur menumpang rumah kawan atau kenalan/ saudara untuk tujuan mandi/ membasuh pakaian. Keadaan ini amat membimbangkan terutama dari aspek keselamatan pelajar2. Mohon pihak terbabit memandang serius masalah ini. Ini melibatkan masalah kesihatan dan keperluan asas yang sepatutnya disediakan sebaik mungkin kepada pelajar2 di Kolej Matrikulasi tersebut.

Kami hanya disensasikan oleh berita2 masalah air di negeri di bawah Pakatan Pembangkang..tapi sebenarnya masalah air di negeri bawah pentadbiran BN juga berlaku sudah sekian lama..Mohon tolong selesaikan masalah air di Pusat Matrikulasi Kuala Pilah ini..Pelajar2 ini adalah aset negara..macam mana mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada pelajaran sekiranya kebersihan serta keselesaan diri berada pada peringkat yang teruk. Mohon pihak terbabit mengambil tindakan segera. Terima kasih.

By: Amir

Masalah Lembu Berkeliaran, Ramai Yang Dah Jadi Korban

Sekiranya kita sedang memandu dari arah Seremban menghala ke Kota Peranginan Port Dickson melalui jalan lama kita semestinya akan dapat melihat banyak lembu-lembu berkeliaran dibahu jalan maupun ditengah jalan. Dan sekiranya kita tidak berhati-hati, kita mungkin akan terlibat dengan kemalangan yang disebabkan oleh lembu-lembu yang berkeliaran ini.

Untuk pengetahuan semua , telah ramai pengguna jalanraya yang menghadapinya dan telah banyak nyawa serta harta benda musnah disebabkan kemalangan membabitkan lembu didaerah ini. ( Sila rujuk kepada Jabatan Trafik PD ). Itu belum dikirakan banyak mana kesukaran penduduk sekitar , tanaman rosak, jalan raya kotor dan sebagainya.

PERSOALANNYA :

  1. Dimanakah diletakkan undang-undang yang sepatutnya dikuatkuasakan oleh PBT ( Majlis Perbandaran Port Dickson ) ?
  2. Apakah tidak ada akta untuk penternak lembu di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong ini ?
  3. Apakah pihak MPPD hanya menunggu laporan dari penduduk yang membayar cukai  ( Cukai yang dikenakan kepada penduduk di daerah ini memang agak tinggi ) tanpa adanya inisiatif untuk menjalan sendiri amanah yang dipikul?
  4. Adakah terlalu sukar untuk mengenal pasti penternak-penternak lembu di daerah ini dan mengadakan satu garis panduan untuk menjalankan kegiatan ini ?
  5. Apakah adanya unsur tidak amanah ataupun rasuah dalam kes ini ?

Diharapkan pihak pihak berkuasa seperti Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan , SPRM, NGO, atau mana mana pihak berkuasa dapat memberikan perhatian terhadap aduan saya ini kerana masalah ini telah terlalu lama kami tanggumg. Terima kasih.

HAPUSKAN AMALAN RASUAH.

By: Razali Bin Adam

Harga sewa tangki air SAINS melampau

Pada 8/8/2012, saya ke pejabat SAIS (Syarikat Air Negeri Sembilan) untuk menyewa tangki air. Bayaran yang dikenakan adalah RM320 tidak termasuk air tambahan. Bayaran yang dikenakan adalah sangat tinggi jika dibandingkan dengan tahun lepas iaitu RM100 termasuk air tambahan.

Bayaran yang tinggi ini akan menyulitkan orang ramai yang ingin menggunakan tangki air untuk kerja kenduri dan sebagainya. Tambahan pula kadar bayaran tersebut adalah melebihi penggunaan air harian selama sebulan.

Saya sebagai pengguna berasa amat kesal dengan cara pihak sains mengaut keuntungan sehingga menyusahkan orang ramai. saya berharap agar isu ini akan diselesaikan oleh pihak yang bertanggungjawab. sekian terima kasih

By: ROZALI BIN RIPIN

Air di Kuala Pilah bermasalah sudah lebih 2 tahun

Masalah keperluan asas utama iaiatu bekalan air bersih di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sehingga kini sejak diswastakan dan dikendalikan oleh SAIN, tidak dapat didiselesaikan. Saya tidak duduk di sana tapi sering pulang ke sana dan mendengar keluhan rakyat terutama sewaktu mendengar ceramah pihak pembangkang. Rakyat setempat berasa kecewa kerana bukan sahaja tiada tindakan di ambil malah mereka akan blacklist kepada oanrg yang membuat aduan. Sebagai sebuah pekan besar yang menempatkan Bandar Diraja Seri Menanti, perkara ini sepatutnya tidak wujud dan kita sudahpun hidupdi alaf baru bukan di zaman 70an lg.

SAINS ingin membekalkan air ke selangor tapi kawasan utama di negeri sembilan seperti di sini mempunyai masalah bekalan air. ini menjejaskan kualiti kehidupan, dan kesihatan penduduk setempat. bayangkan, pengusaha restoran tdk dpt mencuci pinggan setiap masa etc.

bukan ini sahaja penduduk negeri sembilan sering mengalami gangguan tenaga elektrik terutama di kawasan terachi, bermula dari seremban ke atas, apakah puncanya?

apakah sebabnya kebajikan rakyat di ambil ringan oleh majlis daerah seperti kemudahan jalan raya yg tdk diselenggara, dan jln yg teruk dr terachi hingga ke bahau. bahu2 jalan yg sgt kotor dan tdk dijaga kebersihan, tiada landskap, seumpama majlis daerah di negeri sembilan terutapa kuala pilah dan jempol sudah tidur jika dibandingkan dengan melaka.

saya juga hairan kenapa di pekan kecil seperti di batu kikir tidak diperkenalkan sistem mengutip sampah, kerana tiada lg lubang yg boleh digaliutk membuang sampah di kawasan rumah kampung, kelihatan juga kehidupan yg seumpama daif kerana kekotoran yg tdk diambil peduli, longkang2 di bahu jalan yg sumbat, penuh sampah, lumut, rumput dan sebagainya.

mereka juga tdk mempunyai kemudahan unifi atau jalur lebar. pendek cerita tiafa pembangunan sebenar yg merangkumi aspek keperluan asas rakyat yg didokong oleh ahli parlimen setempat, atau wakil rakyat malah majlis daerah atau pembangunan negeri atau agensi pelancongan negeri bagi menaik taraf kualuti kehidupan, sosio ekonomi, mahupun mempercantikkan negeri ini. adakah kerana kedudukannya, sedangkan ia merupakan laluan utama. bagaimana nk tarik pelabur ke tempat ini jika tiada org yg mampu membuka mata atau mencelikkan minda.

dengan harapan melalui pendedahan ini, exco2, dan ahli parlimen dpt buka mata bukan tah berpegang pd status semata2.

By: karteena

Nyaris Rentung Beli Proton Exora

Saya terpanggil untuk membuat aduan tentan keselamatan Proton Exora kepada pengguna selepas berlakunya kemalangan yang melibatkan kematian terhadap Penolong Pegawai Daerah (ADO) Kota Marudu, Hilde Primus Peki @ Hilde Primus Kayau selepas Proton Exora miliknya terbakar di Jalan Ulu Tandek pada 15 April 2011.

Ini disebabkan kerana pada 26 2011 saya mungkin mendapat nasib yang serupa kerana Proton Exora yang saya beli pada hari tersebut mengalami kerosakan pada wayar ‘injector’ yang tidak dipasang dengan kemas. Ini menyebabkan minyak petrol keluar dari wayar yang tercabut, mencurah-curah di dalam ruang enjin. Saya terus mematikan enjin dan memasang semula wayar yang tercabut dan menghantar kepada pusat servis proton pada keesokan harinya untuk pemeriksaan semula semua pendawaian elektrik.

Bayangkan jika terdapat percikan api yang boleh menyambar minyak petrol tersebut, pasti kereta yang baru dibeli rentung dimamah api. Saya hairan bagaimana ini boleh berlaku. Adakah tahap keselamatan kereta dari pengeluar kereta Malaysia yang kita bangga-banggakan ini tidak lagi boleh dipercayai? Saya harap pihak Proton memandang serius perkara ini, kerana berapa banyak Proton Exora telah dikeluarkan pada masa ini dan juga pihak Proton perlu memastikan keselamatan kepada semua jenis kereta keluaran Proton akan datang terjamin.

By: Mohd Imran

USIM seindah namanya

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini mengorak langkah dan menongkah arus perdana dalam merealisasikan harapan dan wawasan kerajaan dalam melahirkan golongan ilmuan dan cendekiawan dalam pelbagai bidang. Saban tahun, mahasiswa yang menamatkan pengajian di semua lapisan peringkat meningkat.

Namun, apa yang menyebabkan saya dan kawan-kawan yang sedang dalam proses menamatkan pengajian dan sebahagian telah selesai memegang skroll ijazah telah terbuku satu persoalan. Iaitu,”di mana masjid”? Kenyataan saya bukanlah mengambarkan yang kami tidak pernah ke masjid atau ke surau yang berdekatan. Tetapi, sebagai seorang mahasiswa yang bernaung di bawah gelaran ‘Islam’ pada nama institusi ini amatlah rasa terpanggil untuk meluahkan apa yang menjadi aspirasi semua pelajar USIM.

Kami boleh berbangga dan mendabik dada jika orang awam melawat USIM melihat bangunan Canselori atau bangunan Perpustakaan yang kosnya melibatkan RM1 juta lebih. Kami merasa gembira dengan kesenian pelbagai bentuk dan konsep fakulti di USIM. Kami juga berbahagia berdamping dengan ramai pensyarah dari pelbagai latar belakang, bangsa dan agama.

Namun, kami hanya tersenyum duka bila orang awam khususnya ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka belajar ke sini  diajukan soalan di mana rumah Allah atau Baitullah. Terasa kerdil diri dan terus mengecil hati sejenak memandang jauh ke arah masjid-masjid yang tersergam indah di perkarangan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Sungguh mendamaikan suasana dan menenangkan jiwa dengan hanya memandang. Apatah lagi, menjejakkan kaki ke dalam dan bersolat sebagai seorang hamba yang mengharapkan keredhaan Penciptanya.

Bangunan Konvokesyen dan fasiliti-fasiliti yang rancak dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan amatlah didambakan mahasiswa. Justeru, mahasiswa sekurang-kurangnya dapat menghargai dan merasai pengalaman tinggal di universiti berbanding di kampung halaman masing-masing yang prasarana awamnya ketara bagai langit dengan bumi di sini. Prasarana dan suasana universiti telah terbukti banyak melahirkan pemimpin-pemimpin negara. Universiti menjadi gedung pencungkil kemahiran insaniah dan membentuk peribadi mahasiswa minda kelas pertama.

Walaupun begitu, kekosongan aspek kerohanian amat perlu dititikberatkan. Semua aktiviti-aktiviti Islam sebolehnya dilakukan di sebuah tempat yang bergelar masjid. Aktiviti-aktiviti Islam lebih mendapat barakahnya apabila sesuai tempatnya. Jika disingkap kisah Rasulullah, masjid menjadi tempat berkumpulnya para ilmuan Islam berbincang bab-bab ekonomi, sosial dan da’wah. Malahan, masjid dijadikan pusat perbincangan strategi perang terhadap lawan. Masjid bukanlah satu tempat yang hanya dikenali sebagai tempat solat semata-mata. Masjid sebenarnya berperanan lebih dari mencorakkan rutin masyarakat dan membina tamadun Islam itu sendiri.

Mahasiswa USIM amat berharap pihak pentadbir dan pengurusan USIM mengambil tahu akan aspirasi kami sebagai ‘penduduk’ USIM. Kami juga ingin melanjutkan harapan kepada pemimpin-pemimpin pelajar di USIM. Kami mahu sebuah tempat khusus dibina untuk kami bersolat sujud syukur selepas memperolehi ijazah nanti. Besar harapan yang kami tadahkan, besar lagi rahmat Allah kepada penduduk bumi. Andai kata susunan kata ini dapat membantu hasrat  sebahagian besar mahasiswa USIM. Sesungguhnya gurisan indah bukanlah di dalam peta kehidupan, tetapi di dalam hati nurani yang kekal abadi. Iaitu iman~

John Connor USIM.

By: Afifuddin90

Kecewa dengan kakitangan Klinik 1Malaysia

Pada 5/3/2012 saya telah pergi keklinik 1 Malaysia di nilai negeri Sembilan. Waktu itu lebih kurang jam 8.15 malam. Apabila saya masuk kebilik rawatan kakitangan bertugas enggan memeriksa saya apabila saya memberi tahu bahawa saya adalah mangsa ragut.  Apakah ada syarat utk rakyat malaysia yg ditimpa musibah dan dalam kecemasan seperti mangsa ragut tidak boleh diberi rawatan di kelinik 1 Malaysia ini.

Saya amat kecewa dan sedih dalam keadaan saya yang masih takut dan trauma, mereka memberi layanan sebegini kepada saya. Saya amat sedih apa bila salah seorang kakitangan menyuruh saya membeli panadol diluar apabila saya mengadu sakit kepala.  Kalau untuk membeli diluar memang tak perlu lah saya kesana mendapatkan rawatan.

Kebetulan saya dalam perjalanan pulang dari balai polis nilai membuat repot dan klinik kerajaan yang masih dibuka adalah klinik 1 Malaysia jadi saya terus kesana dengan harapan mendapat rawatan segera tetapi sayang…mereka terus meminta saya mendapatkan rawatan diluar.

Saya berharap sangat-sangat perkara ini dapat di ambil perhatian oleh pihak yg berkenaan.

Sekian. Terima Kasih

By: norzihan bt Manan

Warga asing bermasalah di Sri Palma Villa, Mantin

Masalah warga asing yang tinggal di apartment, Sri Palma Villa – Mantin, Negeri Sembilan – ini memang amat merungsingkan kami semua penduduk di sini. Buat bising sana sini, bergaduh sesama mereka, mabuk. Bukan baru lagi perkara ini, dah lama tapi tindakan jarang dilakukan oleh pihak berkuasa. Telefon pun selalu tak datang atau lambat. Sikap pihak berkuasa ini juga harus diambil tindakan. Makan gaji buta? Malas? Tidur?

Malam tahun baru cina ini, mereka buat hal lagi. Mabuk di kawasan apartment, tepi tasik. Menjerit sana sini, bergaduh. Botol kaca arak mereka baling saja ke tanah. Ada yang baling ke dalam tasik. Macam mana kalau orang islam yang tidak tahu mengenai hal ini, dan pergi duduk dikawasan dicemari arak itu? Kanak-kanak terpijak serpihan kaca? Penduduk yang memancing ikan di tasik itu, makan ikan nya?

Bila kita tegur, mereka marah kita balik, maki kita pula. Ini negara siapa? Undang-undang siapa? Hak siapa?

Pemberi sewa pun satu masalah juga, sanggup pekakkan telinga, butakan mata, semata-mata kerana wang. Kalau mereka tidak menyewakan kepada warga asing ini memang tak akan ada masalah. Bukan semua warga asing ini bermasalah, hanya mereka yang berasal dari Nigeria. Apartment ini bukan untuk mereka pun. Pihak Kolej dah pun memberi mereka hostel. Sebabkan nak kebebasan, orang lain yang kena tanggung. Malu saya nak mengaku yang rakyat Malaysia ini selalu tidak fikir panjang. Tolong fikir tentang akibatnya sekali sebelum buat sesuatu.

Sudah 3 tahun lebih perkara ini semua asyik berulang. Kami sebagai penduduk sudah pun mengambil tindakan yang kami mampu. Tapi malangnya, bila penyewa dan pihak berkuasa tidak sama-sama memberi kerjasama. Perkara yang sama terus berulang. Kami pembeli rumah yang tinggal di sini pula yang kena tahan? Kene pindah keluar? Dimanakah rasa tanggungjawab? Wang memang membutakan mata manusia..

Diharap pihak yang berkaitan, dapat bawa ke tengahkan hal ini. Sedarkan semua rakyat. Ini negara islam, ada batas yang perlu dijaga atau mereka ketahui. Bukan kita larang mereka untuk minum arak dan sebagainya, tapi jangan sampai melampaui batas. Minum arak dirumah bukan tak boleh. Merata-rata botol arak mereka buang. Tangga, lif, taman, laluan kaki lima, tempat parking. Kadang-kadang balik dari tingkat atas ke bawah. Macammana kami nak tahu tempat yang kami pegang itu suci? Kena pakai sarung tangan pergi kemana-mana?

Ini sahaja aduan yang saya hantarkan walaupun ada banyak lagi. Kalau nak tulis, panjang nya boleh jadi macam satu novel. Anda boleh gelak, anda boleh cakap yang kami ini terlalu cerewet, kami tak kisah. Tak sudi atau rasa tak perlu datang tolong pun kami tak kisah. Janji kami tak berdiam diri dan akan terus mencuba untuk menanggani masalah ini. InsyaAllah, perkara macam ini akan berakahir satu hari nanti. Terima Kasih.

By: Awan

Apa dah jadi dengan ‘insentif’ peneroka Felda Bukit Rokan Utara?

Baru-baru ini PM mengumumkan ‘insentif’ kepada peneroka Felda akan dibayar pada penghujung Disember 2011. Rasionalnya, sudah tentu apabila pengumuman seperti ini dibuat, pihak yang bertanggungjawab telah bersiap sedia dengan pelan tindakan yang bakal diambil.

Tetapi malangnya ketika saya pulang ke kampung halaman di FELDA BUKIT ROKAN UTARA pada minggu lepas, saya dimaklumkan oleh ayah bahawa beliau masih lagi menunggu pembayaran insentif seperti yang diumumkan.

Betapa kecewanya beliau dan beberapa orang penduduk lain kerana merasakan diri mereka dipersendakan. Sebagai anak yang juga generasi kedua di tanah rancangan Felda ini, saya turut merasakan kekecewaan itu. Apalagi ketika pihak atasan Felda sedang ghairah menjanjikan masa depan yang ‘indah’ untuk peneroka Felda.

Menurut beliau, beberapa penduduk yang lain telah beberapa kali cuba menanyakan dengan pihak pengurusan, malangnya alasan yang diberi adalah tidak menasabah. Sukar untuk diterima dalam kemodenan teknologi hari ini, sistem maklumat dan ‘documentation’ mengalami masalah. Apalagi setelah mendiami tanah rancangan Felda ini lebih 35 tahun. Bagaimanakah pentadbiran dijalankan selama ini? Kemana hilangnya rekod?

Jika pun benar sistem bermasalah, apakah tindakan yang diambil selama hampir 2 minggu berlalunya tarikh yang dijanjikan? Persoalan lain yang wujud ialah mengapa tidak ada penerangan yang jelas daripada pihak yang bertanggungjawab?

Biarpun hidup jauh di pendalaman, sesungguhnya mereka ini tidak bodoh! Saban hari media arus perdana sering menggambarkan Felda sebagai sebuah konglomerat yang gah dan hebat. Tak kan lah isu sebegini tidak mampu ditangani dalam tempoh yang singkat?

Jadi, bagaimana para peneroka ini nak mendapat keyakinan bahawa hak mereka akan terbela jika penyenaraian di bursa saham dilaksanakan?

By: Khairul Anuar Latip

Masalah buli dalam kalangan pelajar

Buli bermaksud perbuatan mengasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ini secara tidak langsung, menjadikan mereka yang lemah mematuhi atau menghormati mereka yang kuat. Ada maksud lain yang menyatakan bahawa buli bermaksud tingkah laku agresif sama ada dalam bentuk fizikal atau psikologikal yang dilakukan secara berulang kali ke atas mangsa dan ia bertujuan mendatangkan perasaan tidak selesa, aman, tenteram dan harmoni. Secara keseluruhannya, perbuatan membuli merupakan perbuatan yang tidak baik serta boleh membuatkan orang lain boleh menjadi mangsa serta boleh mendatangkan ketidak selesaan kepada orang lain.

Saya yakin, semua pasti peka tentang hal ini.Jadi,berbalik pada tujuan utama aduan ini diadukan, berkenaan masalah buli yang semakin teruk dari sehari ke sehari yang berlaku di salah sebuah institusi di Seremban, Negeri Sembilan yang bakal melahirkan golongan pembantu perubatan yang bakal bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta. Masalah buli sepatutnya tidak seharusnya berlaku dalam kalangan mereka kerana mereka adalah golongan yang akan berhadapan dengan masyarakat yang akan datang dengan pelbagai ragam untuk mendapatkan rawatan.

Namun, mengikut pemerhatian saya, pelajar-pelajar di sana bukan sahaja mengamalkan prinsip senior dan junior, malah turut mengamalkan budaya ragging. Jelas,perkara ini sangat memalukan. Ia tidak seharusnya berlaku dalam kalangan bakal pembantu perubatan yang bakal berkhidmat dengan msyarakat. Sepatutnya golongan ini harus dipenuhi rasa sabar dan penuh dengan etika sebagai pembantu perubatan.

Menurut laporan, senior-senior di sana bukan sahaja menjerit-jerit terhadap pelajar-pelajar junior, bahkan turut mengugut untuk menampar pelajar-pelajar junior ini yang langsung tidak melakukan sebarang kesalahan. Yang lebih mengejutkan,hal ini berlaku dalam kalangan pelajar perempuan.

Mereka turut disuruh melakukan perkara-perkara yang tidak sepatutnya mereka lakukan hanya kerana mereka digelar junior. Walaupun kesalahan yang dilakukan adalah amatt kecil, golongan senior ini tetap mengambil jalan dengan menjerit, memekik-mekik dan memarahi pelajar tesebut di hadapan pelajar-pelajar lain. Perlakuan ini sangat tidak matang dan tidak boleh diterima pakai. Pada pendapat saya,mereka hanya ingin mendapatkan perhatian dan mungkin juga menunjukkan kekuatan mereka selain bagi mendapatkan respect dari kalangan pelajar-pelajar junior tersebut. Sedangkan Rasulullah hanya mengamalkan pendekatan yang lebih berhikmah dalam menegur umat-umatnya yang memang tidak lari dari melakukan kesalahan.

Masalah buli ini bukan sahaja memberi kesan dari segi fizikal, tetapi juga dari segi mental apabila pelajar-pelajar yang tidak disukai senior hanya kerana sebab-sebab tertentu seperti mempunyai wajah yang cantik dan innocent, akan selalu menjadi tempat pelajar-pelajar senior ini melepaskan geram dan untuk menunjukkan kekuatan mereka kepada pelajar-pelajar junior. Mangsa akan berada dalam keadaan tertekan dan tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran.

Di harap pihak yang bertanggungjawab dapat turun padang memantau masalah ini. Hukuman yag berat harus dikenakan terhadap pelajar-pelajar yang terlibat dalam masalah ini sebelum ia menjadi lebih teruk dan menjadi-jadi. Contohnya, menggantug pengajian. Sejujurnya, saya sebagai bakal doktor yang belajar di luar Malaysia juga tidak mahu sekiranya mempunyai pembantu perubatan yang rendah moral dan akhlaknya bekerja di sektor perubatan yang memerlukan kesabaran dalam mengendalikan kes-kes seharian. Dan di negara ini, kes buli ini sangat dipandang serius dan dianggap sebagai jenayah. Diharap tindakan dapat diambil secepat yang mungkin.

By: Muhammad Fareed

Korek pasir secara haram

Kejadian Pengorekan pasir dijalankan di dalam kawasan kampung saya beralamat seperti yang di bawah, saya agak sangsi bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Kami bimbang akan keselamatan rumah-rumah kami, kerana kerja penyedutan pasir itu berdekatan dengan rumah kami. Ini boleh menyebabkan tanah mendap dan runtuh sekaligus mengancam keselamatan penduduk kampung. lebih menghairankan lagi, kerja mengeluarkan pasir itu hanya dijalankan pada waktu 4/5 pagi.

Kejadian ini menyebabkan penduduk kampung curiga dengan niat sebenar pengorekan pasir ini. Saya amat berharap bahawa aduan rakyat dapat membawa isu ini ke tengah dan pihak yang berwajib mengambil tindakan yang sepatutnya sebelum kejadian yang tak diingini berlaku. Sekian, terima kasih.

Batu 7 3/4 Kg Pantai, Jalan Jelebu,
71770, Seremban, Negeri Sembilan.

By: Amir Rosli