Penipuan oleh Pemaju Darulaman Realty

Saya telah menerima kunci rumah yang dibeli dari pemaju Darulaman Realty Sdn Bhd anak syarikat  Bina Darulaman Berhad dan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah sejak Mac, 2013 yang lalu.

Malangnya sehingga kini lebih setahun, masih belum lagi dapat menduduki rumah tersebut. Ini kerana rumah tersebut mengalami kecacatan akibat mutu pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi dan piawai kerana berlaku penipuan.

Pihak pemaju cuba melepaskan tanggung-jawab dan enggan membaiki kerja-kerja pembaikan yang diadukan. Walau pun arahan telah dikeluarkan oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan kepada pemaju pada Oktober 2013 tetapi pihak pemaju masih engkar.

Pelbagai saluran aduan telah digunakan termasuk menghantar surat kepada pengurusan tertinggi iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah tetapi masih tidak mendapat perhatian dan tindakan. Oleh itu saya berharap melalui media ini akan dapat membantu menyalur masalah  ini kepada pihak yang terlibat serta memberi makluman kepada bakal pembeli supaya tidak menjadi mangsa pemaju yang tidak bertanggung-jawab.

Gambar foto akan saya email kepada saudara. Di atas usaha murni anda akan mendapat rahmat dari Allah SWT. Sekian. T.kasih

By: Yusoff Osman

Penjualan dan Penyeludupan Petrol dan Diesel Secara Haram

Salam 1 Malaysia,

Saya seorang pesara yang menetap di utara tanah air. saya ingin mengadu berkenaan penjualan petrol dan diesel yang mencurigakan di kawasan saya. Tidakkah pihak tuan pelik apabila sebuah stesen minyak di kawasan pendalaman kehabisan minyak jualannya selepas 2 atau 3 hari penghantaran.

Adalah satu yang mencurigakan apabila sebuah proton sedan mengisi minyak sehingga RM300. Dan paling menghairankan apabila anak saya juga pernah ternampak bahagian dalam kereta tersebut seolah-olah telah diubah suai untuk kegiatan ini penyeludupan.Mereka hanya beroperasi pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Saya juga pelik, kerana seolah-olah ada yang bersubahat dengan kegiatan ini, sehingga tiada apa-apa tindakan yang diambil.

Saya berharap pihak aduan rakyat dapat melakukan penyiasatan secara rahsia bagi membenteras kegiatan ini.

By: Ahmad Feshal

Dilema graduan ijazah tanpa diploma

Saya salah seorang graduan dalam ijazah sarjana muda IT (multimedia). Saya amat sedih dengan sikap majikan yang tidak memberi peluang kepada graduan yang tidak berpengalaman untuk menimba pengalaman bekerja di syarikat mereka.

Untuk pengetahuan, saya telah 2 tahun menganggur. tidak terkira banyaknya resume yang dihantar tetapi jawapan yang diberi amat mendukacitakan. Bukannya kami memilih kerja, bahkan saya turut pergi ke walk-in interview untuk jawatan operator kilang, masih tidak diberi peluang setelah majikan mengetahui saya mempunyai ijazah. Saya juga telah menyertai program graduan menganggur di bawah INSEP, dan telah tamat kursus, tetapi rezeki masih belm berpihak kepada saya.

Saya tidak tahu apa sebabnya. jawatan SPA telah berkali-kali diisi, tetapi yang mendukacitakan saya, jawatan yang saya minta, ‘tidak melepasi syarat yang ditetapkan’, padahal saya mengisi jawatan untuk kelayakan SPM sahaja, masih tidak layak. Saya tidak tahu di mana salahnya saya sebagai graduan yang ada ijazah tanpa diploma. sudahlah sijil matrikulasi tidak laku untuk mengisi jawatan kosong, kami tidak diberi peluang untuk berkerja waima untuk jawatan bertaraf SPM sahaja.

Alasan pihak majikan, kami tiada diploma, sijil matrikulasi tidak laku, dan tiada pengalaman berkerja. Bagaimana untuk menimba pengalaman jika peluang langsung tidak diberikan?Mengapa majikan terlalu sempit pemikiran mereka yang tidak mahu menggaji kami sedangkan kami tidak pernah kisah dengan gaji yang ditawarkan.Jika kami kisah, masakan kami boleh mengisi jawatan tersebut?Alasan mereka, kami lebih layak mendapat jawatan yang setaraf ijazah yang kami ada, ya, tetapi tidak bolehkah kami menimba ilmu dari bawah?Kalau inginkan pengalaman, sebaiknya, sejak dahulu lagi kami tidak perlu menyambung pelajaran, lepas SPM terus bekerja.Mungkin itu lebih mencerahkan peluang kami.

Graduan yang kecewa

By: aida hashirah

Kerenah Pejabat Zakat Sungai Petani

Pada 30 Oktober 2013 saya telah ke Pejabat Zakat, Sungai Petani, Kedah untuk menanyakan tentang permohonan bantuan zakat OKU bagi anak saya yang telah saya panjangkan permohonan tersebut pada bulan Julai 2013. Malangnya, sehingga kini tiada tindakan susulan daripada pihak tersebut.

Malah, dengan bangganya pegawai zakat tersebut mengatakan permohonan bulan April 2013 pun belum diproses lagi. Apabila ditanya sebabnya, ia mengatakan bahawa pegawai di situ berkursus, bercuti dan cuti bersalin. Sebelumnya, pihak pejabat zakat mengatakan bahawa pegawai yang bertugas untuk menyemak permohonan sedang cuti bersalin. Tetapi, pegawai tersebut mula bercuti bersalin pada sehari sebelum kedatangan saya ke pejabat zakat tersebut, iaitu 29 Oktober 2013.

Lalu saya mempersoalkan apakah yang dilakukan oleh pegawai tersebut dengan pegawai-pegawai yang lain tiga bulan sebelumnya, iaitu pada masa saya menghantar permohonan tersebut. Untuk pengetahuan, borang zakat tersebut hanya sehelai jumlahnya, tidaklah berhelai-helai yang memerlukan masa yang sangat lama untuk disemak. Mereka tidak dapat menjawab persoalan-persoalan yang saya tujukan. Sebagai penyelesaian, mereke meminta nombor telefon saya untuk dihubungi sekiranya permohonan tersebut sudah disemak.

Kerenah-kerenah sebeginilah yang membuatkan orang-orang Islam berputus asa untuk memohon bantuan daripada pejabat zakat lalu meminta bantuan daripada pihak gereja. Ketidakcekapan melaksanakan tugas dan kurang amanah dalam bekerjaya membuatkan orang awam mula kehilangan kepercayaan terhadap institusi kerajaan. Sebut sahaja berurusan dengan jabatan kerajaan, mulalah pelbagai pengalaman buruk yang akan diceritakan.

By: AB KADIR

Masalah Lalulintas Di Jalan Ke Stesyen Keretapi Kobah

Assalamualaikum dan salam sejahtera..

Di sini izinkan saya meluahkan rasa ketidakpuasanhati bagi mewakili semua penduduk dan pengguna jalan berhampiran dengan Stesyen Keretapi Kobah, Pendang, Kedah. Bermula daripada mulanya Projek pembinaan jalan susur ke Stesyen Keretapi tersebut, kami penduduk Kampung Kobah, Jalan Pendang, Kota Sarang Semut telah ditimpa dengan pelbagai masalah keadaan sekeliling kampung kami.

Di sini saya akan terangkan apa yang berlaku kepada kami sekeluarga agar ianya tidak akan berlaku kepada pengguna dan penduduk yang lain pula. Pada tanggal 8 Nov 2013 lebih kurang jam 1115 malam, 2 orang ahli keluarga saya telah terlibat dalam satu kemalangan jalanraya di jalan susur keluar ke Stesyen Keretapi Kobah sehingga meragut nyawa kedua-duanya sepertimana yang disiarkan di dalam Harian Metro bertarikh 11 Nov 2013.

Setelah siasatan dilakukan oleh pihak polis, ianya didapati berpunca daripada keadaan jalan susur ke Stesyen Keretapi terbabit yang mana papan tanda jalan yang tidak betul. Pengguna jalanraya yang datang dari arah Pendang terpaksa melintas menyeberangi garis berkembar jalan untuk ke stesyen tersebut dan pengguna yang datang dari arah Kota Sarang Semut pula terpaksa menanggung risiko di langgar dari belakang oleh kederaan yang menuruni jambatan yang menyeberangi landasan keretapi. Keadaan jalan yang gelap juga adalah salah satu punca kemalangan boleh berlaku.

Jadi saya berharap pihak yang bertanggunjawab dapat memberi penjelasan berkenaan keadaan jalan susur tersebut dan segera membuat semakan tentang keadaan lalulintas di situ. Di sini saya sertakan gambarajah laluan jalan susur ke Stesyen Keretapi Kobah.

By: Shuhaimi Bin Md Desa

Sada Kulim: Khidmat Pelanggan Paling Teruk

Saya telah membuat aduan tentang meter paip air saya bocor kepada SADA Alor Star. Selepas 3 minggu tidak ada apa-apa perkembang, saya telah menelefon semula SADA Alor Star. Saya agak marah dan menanya tentang perkembangan. Sada Alor Star pula meminta saya menelefon Sada Kulim. Apabila saya menelefon, staff tidak peramah dan asyik pass line kepada staff lain.

Akhirnya, saya Berjaya bercakap dengan seorang pegawai. Selepas itu, seorang staff tidak beruniform sada datang ke rumah saya. Selepas memeriksa meter saya, staff mengatakan staff lain pula akan datang kemudian untuk menukar meter.

Dua minggu berlalu, tiada apa-apa perkembangan. Sekali lagi saya menelefon SADA Kulim dan memberitahu mengenai meter saya rosak. Staff berjanji akan hantar staff lain esok tetapi, sekali lagi selepas dua minggu, tiapa apa-apa perkembangan. Sekali lagi saya menelefon Sada Kulim, pegawai perempuan tidak sopan langsung. Kesemua pegawai tidak berani untuk memperkenalkan diri, takut saya akan buat laporan.

Saya ingin mengetahui, SADA perlu masa berbulan-bulan ke untuk membaiki kerosakkan meter? Bila saya bagi memberitahu pegawai perempuan tersebut bahawa saya yang kena bayar bil tinggi tiap-tiap bulan, sambil lewa beliau mengatakan bahawa SADA akan buat pelarasan. Kalau macam itu jawapan staff, maksudnya pembaziran air dialu-alukan oleh SADA ke?

Braveman (nama samaran)

By: Jeyamoghan K

Kecewa dengan Proton Edar Alor Star

Selamat sejahtera,

Saya adalah pengguna proton Suprima S yg baru sahaja dibeli pd 3 October 2013 lepas. Pada 21 October 2013, sy telah menghantar kereta tersebut utk servis pertama di Proton Edar Alor Setar yg beralamat di No.210-211, Jalan Gangsa , Mergong, 05150 Alor Setar, Kedah.

Untuk servis tersebut sy telah membeli minyak Petronas Syntium 1000 yg berharga RM195 dan resit juga telah dikeluarkan. Butiran di resit adalah sama seperti apa yg diminta. Setelah urusan semua selesai, sy pun pulang ke rumah di Perlis. Malangya keesokan hari sy terjumpa tong minyak Pentronas Syntium 800 yg telah kosong di dlm kereta.

Pada masa itu sy telah pun rs ditipu dan segera menelefon pihak Proton tersebut utk penjelasan dan jawapan yg diberikan sangat lah tidak masuk akal kerana dgn lancarnya pihak mereka mnyatakan bahawa minyak yg dituang ke dlm kereta sy tempoh hari adalah Syntium 1000 dan tong tersebut hanya tertukar sahaja. Alasan yg sangat tidak masuk akal seolah-olah perkara tersebut sudah biasa mereka lakukan.

Beberapa minit kemudian sy telefon semula utk bercakap dgn manager tp mereka mmberi alasan bahawa manager tiada dan alasan yg sama diberikan apabila sy menelefon semula. Sy sangat curiga, hilang kepercayaan dan terkilan dgn apa yg berlaku ini memandangkan ini baru pertama kali memakai kereta Proton dan ini adalah 1st service.

Harap pihak tuan/puan dapat membuat langkah/tindakan yg sewajarnya kpd pihak Proton Edar Alor Star ini kerana bimbang jika mereka sudah biasa melakukan perkara ini kpd pengguna.

Mohon jawapan drpd pihak tuan/puan.
Terima kasih.

By: pika

Proton Saga FLX Bermasaalah

Salam Sejahtera.

Isteri saya telah membeli sebuah kerata baru ( Saga FLX 1.3) di Proton Edar di sebelah bangunan Gaint Bt. Caves. Pada hari Selasa 5hb Ogos 2013 kereta tersebut telah dibawa pulang ke rumah dengan tanpa masalah. Pada hari 7hb Ogos iaitu malam hari hari puasa saya telah memandu kereta tersebut untuk pulang ke kampung isteri di Bandar Baru Beris Jaya , Sik Kedah. Dengan kelajuan tidak melebihi 100 km saya telah sampai ke kampung dengan selamatnya iaitu pada pagi hari raya puasa pertama.

Pada hari Jumaat bertarikh 9 ogos 2013 jam 8.00 malam saya telah memandu kereta tersebut ke kawasan berdekatan iaitu di Taman Ria, Gurun. Sewaktu dalam perjalan pulang iaitu ketika saya berhenti di salah satu lampu isyarat dengan tiba tiba kereta tersebut tidak boleh bergerak. Injin masih hidup, air cond masih baik dan pada masa itu saya melihat lampu amaran CVT bernyala. Saya panik dan tidak tahu hendak buat apa di kawasan hutan itu . isteri saya telah menghubungi wakil pengedar dan kami dinasihatkan untuk mencabut pluq bateri dan membiarkan seketika. Kami telah berbuat demikian dan memasangnya semula. Alhamdulillah kereta dapat dipandu semula telah berhenti semula dengan kedaan lampu CVT bernyala. Saya kemudiannya mematikan injin dan menghidupkan semula dimana waktu itu saya dapati lampu CVT telah terpadam. Saya telah membawa kereta pulang ke Beris Jaya dengan selamat.

Pada keesokkan saya hubungi pengedar proton di Gurun dan mendapat nasihat supaya saya membawa kereta ke kedainya pada hari Ahad 11hb Ogos 2013

Pada pagi 11 ogos saya telah membawa kereta ke puasat service di Gurun. Dalam perjalannan , lampu CVT bernya sekali membuat kami berhenti dan menghidupkan injin semula. Sampai di pusat service itu kereta tersebut telah cuba diperbaki. Jam 2.30 petang saya bawa kereta itu pulang tetapi tidak beberapa minit kemudian lampu CVT bernyala lagi. Saya berpatah balik ke kedai berkenaan. Pihak kedai tersebut menasihatkan saya membawa kereta itu ke Proton Service Juru kerana mereka kekurangan alat untuk membaikinya.

Pada 12hb Ogos saya membawa kerteta tersebut ke Juru dan seperti biasa kereta tersebut akan berhenti 2-3 kali akibat dari nyalaan lampu CVT. Kereta telah dibaiki di sana diatas seliaan Sevice Advisor En. Azman Basha. Jam 3.00 petang saya bawa balik kereta di Gurun dimana lampu nyalaan CVT muncul semula sewaktu berada di Jeniang. Saya hubungi En. Azman dimana beliau menasihatkan saya supaya menghantar kereta tersebut ke Sungai Petani pula. Saya tidak mempunya masa, saya perlu pulang ke KL. Pengedar kereta di Bt. Caves menyuruh saya menghantar kereta ke Kepong setelah sampai ke KL.

Pada hari yang sama saya membawa kereta pulang Ke KL. Dalam perjalan itu kereta berhenti kerana CVT sebanyak 2 kali sehingga melepasi tol juru. Setiba saya di Cangkat Jering nyalaan CVT bermula. Kali ini kereta tidak mampu bergerak. Pihak pronda plus menasihatkan saya membawa kerta perlahan dan berhenti di Tol Cangkat Jering. Kami menghubungi talian hot line proton. Jam 12.30pagi sebuah kereta tunda datang membawa kami ke pusat service proton jalan Kuala di Ipoh. Kami terpaksa bermalam di hotel jam 2.00 pagi menunggu hari siang.

Pada hari Selasa 12 ogos jam 6.00 petang kereta kami selamat di perbaiki dibawah seliaan En. Zamhuri dan maknik En Rahim. Saya pun memandu pulang kereta tersebut dengan selamat ke rumah saya di Bukit Beruntung Selangor.

Pada hari Rabu 13 ogos 2013, saya memandu kereta ke tempat kerja di Chow Kit Kuala Lumpur. Apabila menaiki tempat letak kereta di tingkat 4, lampu CVT menyala lagi. Saya telah menghubungi kereta tunda kurnia insurance dimana kereta tersebut telah di tarik ke Proton Edar Sdn bhd ( service) lot 9818 Persiaran Mohagani Sri Damansara 52100 Kepong di bawah seliaan En Sufna Hatin.

Saya tidak menyalahkan pusat service, mereka cuma pekerja dan rata ratanya melayan saya dengan baik. Saya terkilan kerana percutian Hari Raya saya tidak bermakna dan menghabiskan masa saya menunggu di pusat service hampir setiap hari. Saya rasa tertekan berhenti dalam gelap di tengah tengah hutan ditepi high way bersama anak dan isteri saya dan mengalami pengalaman kereta ditunda 2 kali dalam masa seminggu kereta dikeluarkan. Isteri saya menghadapi masalah kemurungan kerana tertekan dan tidak menyangkakan kereta barunya menyusahkannnya. Bila saya ceritakan kepada wakil pengedar yang lain , mereka hanya berkata bahawa kereta yang mereka jual semuanya OK. Apa yang berlaku kepada saya adalah dikira nasib saya.

Tuan tuan, ini adalah bukan soal nasib. Saya adalah pembeli saya tidak mahu tertipu. Saya bukan mahu letakkan kereta tersebut sebagai hiasan di rumah atau jadi bahan ujikaji. Saya mahukan kereta yang bagus dan baik.

Saya mengucapkan terima kasih kepada hot line proton, proton service juru dan ipoh kerana membantu saya. Saya berharap pihak roton membaiki kereta tersebut dan mengembalikan keyakinan saya. Jika pihak proton belum pasti atau kurang keyakinan kepada keupayaan makeniknya tolong jangan pulangkan kereta tersebut kepada kami.

By: tajudin

Sistem Penempatan PISMP Kucar-Kacir

Melihat kepada dunia pendidikan di malaysia sekarang, begitu banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi. Begitu juga banyaknya langkah-langkah diambil oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha memajukan dan menambahbaik kualiti pendidikan negara sejajar dengan dasar-dasar yang dirancang secara jangka masa pendek mahupun panjang.

Kualiti institusi pendidikan negara tidak boleh tidak lari daripada mengambilkira pembangunan model insan guru terlatih dan bersahsiah unggul. Justeru pemantapan insan guru dibentuk melalui Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bertempat di Institut Pendidikan Guru di seluruh Malaysia. Program ini berjalan dengan lancar bersama beberapa penambahbaikan kurikulum dan kokurikulum serta program-program kerohanian sepanjang 5 tahun setengah pengajian. Sehingga kini Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) telah melahirkan beribu-ribu guru terlatih bersahsiah unggul di bawah program PISMP sejak tahun 2011. Bagi kohort keluaran tahun 2012 juga tidak kurang hebatnya menerima pujian dan menjadi kebanggaan sekolah-sekolah tempat mereka berkhidmat.

Perkara ini disifatkan sebagai amat berbaloi dengan pelaburan kerajaan persekutuan di bawah peruntukan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang menawarkan elaun pengajian kepada guru pelatih tanpa perlu meminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Peruntukan yang berjuta itu kemudian dibayar semula dengan perjanjian kontrak perkhidmatan di bawah fasal 2.7 (a) di mana guru pelatih dikehendaki untuk berkhidmat dengan  KPM setelah tamat pengajian selama 5 tahun. Tempoh perkhidmatan ini dilihat setimpal dengan peruntukan elaun yang telah banyak dibelanjakan ke atas guru-guru pelatih. Maka dengan ini, jelas ia adalah pelaburan jangka masa panjang yang berbaloi oleh pihak KPM.

Namun, apa yang terjadi di tahun 2013? Kohort ketiga di bawah program yang sama menghadapi pelbagai kesulitan menjelang tahun 2013 setelah menamatkan pengajian pada penghujung Disember 2012. Guru-guru pelatih terpaksa mengisi borang penempatan dari KPM, bahkan terpaksa mengisi lagi borang di Jobsmalaysia seperti graduan lain. Tidak cukup dengan itu, tiada satu kata putus diberikan oleh pihak KPM mengenai status penempatan kohort ini yang secara keseluruhannya mencecah 3700 orang ,sehinggalah pada pertengahan bulan Januari 2013.

Berita penempatan pada waktu tersebut diterima baik oleh graduan-graduan guru pelatih ini, tetapi amat menyedihkan apabila hanya kurang separuh daripada jumlah asal mereka ditempatkan sebagai guru interim. Mereka diinterimkan berdasarkan keperluan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan India (SJK(C), SJK(T)) di seluruh negara. Walaubagaimanapun mereka tetap bersyukur dengan rezeki yang diterima sekalipun interim itu bukanlah sebagai guru tetap. Tidak cukup dengan itu, timbul pula permasalahan di mana ada di antara mereka tidak diterima di sekolah-sekolah yang telah dihantar. Kes-kes ini berlaku di sekitar Selangor kebanyakkannya dan beberapa buah negeri lain. Jadi, bagaimana KPM mengatur hal ini? Adakah hanya umpama melepaskan batok di tangga?

Berbalik pula kepada nasib graduan guru-guru pelatih yang berbaki terpaksa menganggur dan bekerja sambilan berikutan tidak dapat bekerja tetap kerana terikat dengan kontrak KPM. Rata-rata di antara mereka ada yang telah berkahwin bahkan menimang cahaya mata dan juga bakal berumahtangga. Kewangan yang tidak menentu dan pekerjaan yang tidak tetap umpama mereka digantung tidak bertali oleh bakal majikan iaitu KPM sendiri. Apakah benar KPM tidak menjanjikan penempatan pada graduan PISMP? Jika benar, mengapa mengikat kontrak dengan guru-guru pelatih ini?

Penjelasan demi penjelasan telah dan sedang diraih dari pelbagai pihak. Kini tiba masanya untuk suara graduan IPGM kohort ketiga didengar oleh rakyat Malaysia. Bukan untuk memperlekehkan usaha KPM. Tapi sekadar menimbulkan persoalan mengapa penempatan mereka amat lewat dan begitu susah mahu memberi kenyataan tarikh tertentu? Persoalan lain pula, adalah suatu yang pelik apabila KPM melewatkan penempatan graduan-graduan ini tatkala sekolah-sekolah sedang tenat kerana guru yang tidak mencukupi.

Ironinya adalah isu ini terjadi tatkala graduan guru-guru pelatih ini begitu bersemangat mahu memikul beban tugas sebagai seorang guru yang begitu mencabar sekarang ini. Mereka amat berkeyakinan dan optimis dengan aspirasi pendidikan negara kerana telah diterapkan dengan begitu banyak pendedahan sewatu menuntut di IPGM. Mereka juga sentiasa cakna dengan perubahan sistem dan keperluan pendidikan negara bahkan pelbagai inovasi baharu telah dikaji dan diaplikasikan sepanjang mereka menjalani tempoh praktikum dahulu. Apakah masalah yang dihadapi sekarang akan memudarkan semangat mereka untuk menjadi seorang insan guru yang unggul? Ia bergantung pada pertimbangan KPM yang lebih arif.

Demi merungkaikan masalah ini, diharap pihak yang bertanggungjawab dapat meneliti perkara ini sedalam-dalamnya. Kita tidak mahu tenaga kerja yang dilatih menggunakan wang negara sejak bertahun-tahun tidak digunakan sepenuhnya. Di mana letaknya isi yang terpampang di dinding-dinding sekolah dan pejabat-pejabat pelajaran seluruh negara yang mengatakan, “…mengoptimumkan penggunaan tenaga profesional di sekolah…”. bagaimana ingin mengoptimumkan penggunaan tenaga andaikata sumbernya tidak diserap ke sekolah-sekolah? Janganlah kerana mahu menjaga hati sesetengah pihak untuk kepentingan dan agenda lain, sehinggakan sanggup membazirkan apa yang telah dibina dan dididik selama ini. Usah biarkan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Yang benar,

Graduan IPGM Menganggur

By: YUSUF Y

Sistem KSSR Menyusahkan

Saya terpanggil untuk berkongsi masalah sistem KSSR ini bersama anda. Semenjak KSSR ini diperkenalkan, tahap prestasi pelajar langsung tidak diketahui oleh ibubapa/penjaga pelajar. Saya juga tidak pernah mengetahui perkembangan pembelajaran dan ko-korikulumnya ketika di sekolah.

Saya faham, ujian berterusan dilakukan di sekolah, tetapi keputusannya tidak pernah diberitahu kepada kami sebagai ibubapa. Malahan kertas soalan juga tidak pernah kami lihat. Kami juga ingin tahu macam mana prestasi anak-anak supaya kami dapat membantu mereka untuk menjadi pelajar cemerlang.

Saya rasa sistem peperiksaan adalah lebih baik kerana ibubapa dipanggil ke sekolah untuk menandatangani ‘report card’ dan berbincang dengan guru mengenai prestasi dan masalah yang dihadapi oleh anak kita.

Namun begitu adalah lebih baik jika keputusan KSSR dapat diketahui oleh ibubapa melalui guru-guru ataupun secara online supaya kami dapat memantau prestasi pembelajaran semasa anak-anak kami.

Di harap pihak berkenaan dapat menambahbaikkan sistem KSSR ini supaya kita dapat bersama-sama meningkatkan tahap pendidikan negara kita.

Terima kasih

By: Aini

Pemberian COLA Untuk Pesara Tentera

Salam dan selamat sejahtera diucapkan kepada seluruh Warga dan Rakyat Malaysia . Terlebih lagi buat pucuk pimpinan tertinggi Pemerintah Malaysia.

Saya mencadangkan agar Kerajaan menimbangkan memberi elaun COLA buat semua pesara tentera yang berpencen bagi mengenangkan jasa mereka semasa berkhidmat. Tambahan bagi mereka-mereka yang menetap di bandar-bandar besar seperti Pulau Pinang, Kuala Lumpur serta yang seangkatan dengannya bagi meringankan beban kehidupan seharian yang semakin tinggi.

Diharap Ketua Pengarah JHEV melihat akan perkara ini serta masalah yang di hadapi anggota tentera yang bersara. Dan mungkin juga boleh di panjangkan kepada anggota tentera tidak berpencen.

Semoga pandangan ini akan mendapat pertimbangan sewajarnya seterusnya di luluskan.

By: Tentera Pencen

Sistem Serahan Bayaran Cukai Tanah Kubang Pasu

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Saya ingin menarik perhatian yang berkenaan terutama DO Pejabat Tanah Kubang Pasu atau kakitangan yang terbabit agar memastikan tanggungjawab kita sebagai penjawat awam mencapai sepertimana hasrat kerajaan iaitu Rakyat Didahulukan.

Ini kerana rata-rata penduduk Kampung Tradisi Changloon jalan ke UUM merasa tertipu(mungkin betul ayat ni)dimana NOTIS PINK arahan bayaran cukai tanah tertunggak dari tahun 2005 sehingga 2012 sedangkan sebelum ini tiada apa-apa surat atau NOTIS daripada Pejabat Tanah Daerah Kubang Pasu yang mengarahkan kami penduduk kg buat bayaran. Ibu saya antara yang menjadi mangsa bersama ramai lagi yang “TERKEJUT BEWAK(biawak)” disebabkan NOTIS PINK ni.

Mohon sangat-sangat la DO serta kakitangan main peranan,tiap-tiap tahun boleh hantar surat maklum kepada orang kampung buat bayaran. Jangan la tunggu sampai denda mencecah RM700 keatas baru nak hantar notis arahan bayaran mengejut dan jika tak bayar pejabat tanah berhak rampas. Ini ikut peraturan ke tak? Saya ada buat panggilan dan bertanyakan kenapa tiada surat makluman setiap tahun, jawapan mudah dari pegawai pejabat tanah sepatutnya pemilik atau penduduk kampung kena maklum sendiri dan dah tau benda ni kena bayar. Maaf la, hampa ingat orang kampung ni nak ingat or tau ke benda macam ni. Depa dok kg bukan nak ambil tau sangat kalu tak di bagitau. Apa salahnya jika bagi surat suruh pi bayar? kami akan bayar dan akur bukan buat arahan last minute pastu nak rampas tanah. DO main peranan ke tak?jangan la kita sebagai penjawat awam memalukan organisasi kita. Takkan takde piawaian kerja kot?

Nasib baik kerajaan negeri bagi potongan denda tu. Kalau diikutkan dendakan TIDAK BOLEH DIKENAKAN kerana surat arahan bayaran setiap tahun TIDAK pernah dikeluarkan. Ini bukan saja-saja reka dan fakta sebenar dan ada beberapa orang kg tradisi yang belum lagi terima NOTIS PINK tu so nasib akan sama la nanti.

Mohon pihak yang berkenaan boleh membantu dan bagi Pejabat Tanah Kubang Pasu boleh rujuk macamana sistem Pejabat Tanah Kulim melaksanakan tugas dan jika BOS kurang berkesan, tukar saja ganti yang baru supaya ada perubahan demi kemajuan sesuatu organisasi.

Sekian, terima kasih dan maaf jika terkasar bahasa dan yang baik dari Allah swt dan yang buruk dari kelemahan diri saya sendiri.

Wasalam.

By: MatSIam

Kebanjiran Warga Negara Thai Berniaga

Di sini saya ingin membuat aduan tentang kebanjiran warga Thailand membuka kedai makan terutamanya kedai tomyam dimana mereka merupakan pemilik penuh kedai tersebut tanpa rasa takut malah ada setengah-setengah kedai telahpun beroperasi lebih 5 tahun dan saya rasa ianya bukan hanya dikawasan saya iaitu di Parit Buntar malah di seluruh negara. Ini amat merugikan masyarakat Melayu terutamanya dimana perlu bersaing dengan mereka.

Mereka menggunakan segala subsidi yang diperuntukkan untuk rakyat Malaysia serta membawa balik keuntungan ke negara mereka tanpa dikenakan sebarang cukai ini namun saya dapati tiada tindakan tegas diambil oleh Jabatan Imigresen untuk mengatasi masalah ini.

Dari maklumat yang saya dapati dari warga Thailand sendiri mereka hanya perlu merasuah Pegawai-pegawai Imigresen di sempadan samada Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan RM30 untuk masuk kembali Ke Malaysia apabila Visa Lawatan Tamat Tempoh melalui agen-agen mereka di Thailand jadi tak perlulah mereka pulang ke Thailand beberapa hari untuk masuk kembali Ke Malaysia.

Saya amat berharap Pegawai Atasan Imigresen memandang serius perkara ini kerana ini amat merugikan Negara dan peniaga-peniaga kedai makan orang melayu serta amalan rasuah berleluasa di kalangan pegawai Imigresen di sempadan.

By: Shahriman Othman