Kesesakan Lalu Lintas Teruk di Kidurung, Bintulu

Salam 1 Malaysia,

Saya ingin membuat aduan mengenai keadaan kesesakan lalulintas yang amat teruk di kawasan Kidurung,Bintulu Sarawak. Kesesakan kebiasaanya berlaku di antara Jalan Utama (Bulatan Kidurung ke Lampu Isyarat Simpang 4 Kidurung) dari arah pelabuhan Bintulu. Keadaan ini berlaku terutamanya semasa waktu “peak hour” seperti waktu pagi,tengah hari & petang. Keadaan kesesakan ini berkemungkinan di sebabkan sistem lampu isyarat yang tidak di mengutamakan arah yang mempunyai lalu lintas yang padat sewaktu “peak hour” .

Pihak trafik juga tidak hadir untuk mengawal lalu lintas tersebut. Sepatutnya kesesakan tersebut dapat di elakkan di sebabkan jalan yang lurus di antara bulatan Kidurung dengan lampu isyarat Kidurung.

Di harap pihak berwajib terutamanya pihak polis trafik turun padang menyelesaikan masalah lalu lintas ini terutamanya selepas waktu pejabat(selepas 5.00 pm).

Masa itu adalah emas, kerugian masa di atas jalan di sebabkan lalu lintas sepatutnya dapat di elakkan khususnya di Bintulu.

Terima Kasih.

By: Shafiq

Harga Rumah Terlamapau Mahal di Bintulu

Saya merupakan salah seorang pendatang yang telah menetap di Bintulu kerana bekerja di sini. Saya dapati harga rumah di Bintulu, Sarawak adalah terlalu mahal bagi orang yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Beberapa minggu yang yang lalu, saya telah bertanya dengan pembangun harga rumah teres tengah 2 tingkat, dan harga jualan yang mereka beritahu ialah RM398000. Harga ini adalah agak tidak munasabah bagi mereka yang baru bekerja selama 5-10 tahun dan berpendapatan RM2000-3500.

Ini kerana bagi sebuah rumah yang berharga begini, wang pendahuluan yang harus di bayar ialah RM40000 dan bulanan sebanyak RM1900++ bagi pinjaman selama 30 tahun. Juga Perumahan di Sarawak hanya mempunyai “Land Title” hanya sepanjang 60 Tahun. Saya amat berharap agar pihak kerajaan dapat membantu kami di Sarawak terutamanya di Bahagian Bintulu.

By: Muhammad Ridzwan

Kes Tanah Adat Sarawak: Tertangguh 15 tahun

Aduan ini adalah berkenaan pengurusan Mahkamah Bumiputera Sarawak. Melibatkan tanah adat bumiputera (NCR). Berlaku pertikaian di antara datuk saya dan anak saudaranya. Yang mana, anak saudara nya mempertikaikan pemilikan beberapa buah tanah. Tanah milik datuk ini juga sepatutnya menerima pampasan RM15ribu dari kerajaan kerana telah digunakan untuk membina jalan raya. Namun sehingga kini, datuk saya masih belum dapat menikmati duit pampasan tersebut kerana kes pertikaian ini.

Kes telah dibicarakan di Mahkamah Adat Bumiputera pada tahun 1997. Keputusan kes ini, telah dimenangi oleh datuk saya. Namun demikian, anak saudaranya telah membuat rayuan semula. Di sinilah, bermula nya mimpi ngeri kepada keluarga saya terhadap kes ini.

Sangat mengecewakan, kerana pihak mahkamah telah membuat endah tak endah terhadap kes ini. Keluarga saya saban tahun bertanyakan perkembangan kes, namun menerima respon negatif dari pegawai-pegawai kerajaan yang terlibat. Sehingga sekarang (2012), masih tiada perkembangan berkenaan kes ini.

Bertambah teruk, usia datuk saya telah menjangkau 81 tahun dan kesihatan semakin merosot. dan tidak mustahil kes ini akan terkubur selamanya.

Saya telah membuat aduan kepada wakil rakyat, residen, pegawai daerah, Mahkamah Bumiputera Kuching, dan sehingga kini masih menunggu jawapan yang tidak pasti.

Amat mendukacitakan kerana pengurusan Mahkamah Bumiputera Sarawak masih di paras tidak efektif. Sedangkan saya pasti, setiap tahun ada penilaian kerja dilakukan. Pengurusan Mahkamah juga tidak selaras dengan piagam pelanggan yang dinyatakan di website masing-masing. Amat mengecewakan. 15 tahun bukan tempoh yang sekejap. pegawai2 bertugas juga telah silih berganti, namun kecekapan masih di tahap tahun 90an.

By: Malisah

Penarikan Elaun Perumahan Wilayah

Seringkali guru- guru di kawasan pedalaman Sarawak dibayangi dengan imbuhan dan elaun yang mewah. Setiap kali berjumpa rakan- rakan guru di semenanjung atau sesiapa sahaja yang bertanyakan lokasi perkerjaan guru, dan apabila dinyatakan kawasan pedalaman Sarawak, tentunya terlontar ungkapan “wah, gaji besar, elaun banyak, pastinya dapat mengumpul duit yang banyak…” itulah saban kali ayat yang sering dituturkan. Namun sejauh manakah kenyataan ini benar? Bagi kami guru- guru yang berada di kawasan pedalaman, keperitan hidup akan dirasai oleh mereka yang pernah mengalami sendiri bagaimana perit dan sukarnya meneruskan kehidupan di sini.

Bila berbicara soal elaun, kami guru- guru di kawasan pedalaman Tatau, Bintulu masih lagi terpinga- pinga dengan penarikkan Elaun Perumahan Wilayah yang telah ditarik balik oleh Pejabat Pelajaran Daerah Tatau sejak awal Januari yang lalu. Apa yang menghairankan kami para guru di kawasan pedalaman ini, kami tidak menduduki kuarters guru, apatah lagi rumah kerajaan. Kami cuma diberikan rumah yang dibina hasil gotong- royong penduduk kampung (masyarakat Iban) dan rumah tersebut tidak dianggap sebagai rumah kerajaan, malah bekalan air bersih juga tidak ada hanya mengharapkan bekalan air dari bukit dan air hujan.

Merujuk kepada surat Edaran bertarikh 26 September 2011 dari Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan surat Edaran Pejabat Pelajaran Daerah Tatau bertarikh 11 Oktober 2011, Pembayaran Imbuhan Tetap Perumahan Kepada Pegawai Yang Bertukar Wilayah dan Disediakan Kemudahan Perumahan Yang Tidak Dianggap Sebagai Rumah Kerajaan Di Kawasan Pedalaman. Menjadi kemusykilan kepada kami para guru di sini, apakah kerana kami menduduki rumah yang disediakan secara gotong royong oleh masyarakat Iban secara langsung kami tidak layak menerima Elauan Perumahan Wilayah? Jika ini yang berlaku, alangkah beruntungnya kawan- kawan kami yang menduduki kuarters guru di pekan- pekan atau di bandar- bandar kerana mereka masih menerima Elaun Perumahan Wilayah kerana di dalam sebuah rumah hanya seorang sahaja yang akan dibuat pemotongan, malah kemudahan bekalan air bersih juga turut disediakan. Sedangkan kami terpaksa berjuang demi mendapatkan setitis air. Betapa peritnya mengangkut air dari sungai, mencatu bekalan air agar bekalan sentiasa ada, jika tidak, tidak berasaplah dapur dan tidak mandi lah kami di sini..

Persoalan kedua juga timbul apabila, terdapat rakan – rakan dari Semenanjung yang berkhidmat di kawasan pedalaman lain di Sarawak, masih lagi menerima Elaun Perumahan Wilayah sedangkan menduduki rumah standard Jabatan Kerja Raya (sabero). Bila persoalan ini diajukan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Tatau, kami diberi pilihan, sama ada ingin menerima Elaun Perumahan Wilayah ataupun pihak Pejabat menarik balik Elauan Bantuan Hidup Susah (Elaun Pedalaman), sedangkan elaun ini secara langsung akan diterima oleh setiap kakitangan kerajaan yang berkhidmat di kawasan pedalaman. Perlukah diberi kata dua sebegitu oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah Tatau?

Untuk pengetahuan, kami juga telah membuat aduan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kesatuan Perguruan Malaysia (NUTP) baru- baru ini, namun tiada tindakan susulan dari kedua- dua pihak ini. Justeru itu, kami mengharapkan penjelasan dan pembelaan yang sewajarnya berhubung dengan perkara ini.

By: MOHD HAFIZ

Masalah yang kian lama tidak selesai di POS Sempadan Tebedu

Kami Ahli Jawatan Kuasa Persatuan Pengusaha Kereta Sewa Daerah Serian Sarawak ingin mengadu tentang Pihak Berkuasa tidak mengambil tindakkan yang tegas terhadap masalah tersebut di bawah:

  1. Masalah Kereta Kijang dari Indonesia yang masuk ke Malaysia melalui sempadan Pos Tebedu , mengambil penumpang daripada Stesen Kereta Sewa Tebedu sedangkan Kami , Pengusaha Kereta Sewa yang mempunyai Permit dikeluarkan oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Begitu juga dengan Bas Ekspress yang datang dari Miri, Sibu , Bintulu juga menunggu di Pos Sempadan Tebedu sedangkan mereka hanya mempunyai permit untuk menghantar penumpang dan tidak mempunyai permit untuk menunggu dan mengambil penumpang.
  2. Syarikat Bas juga membina pondok tiket bas express haram di restoram mohamad di Tebedu,sedangkan tempat ini hanya tempat makan .
  3. Belum cukup lagi Pihak LPKP meluluskan 2 permit bas berhenti-henti City Public Link.

Kami sedang mengalami masalah yang serius tetapi tiada siapa pun mengambil tindakan. Apabila Persatuan membuat beberapa aduan, jawaban yang kami terima adalah “KAMI AKAN AMBIL TINDAKAN” Itu saja jawaban yang diterima.Tetapi tidak ada tindakan yang diambil .

Jadi apakah yang akan jadi kepada semua pengusaha Kereta Sewa ZON 5 yang beroperasi Tebedu-Serian,Tebedu-Kuching,Serian – Tebedu, Kuching – Tebedu , Serian – Kuching dan Kuching-Serian. Siapakah yang akan menanggung pinjaman Bank bagi kenderaan kami apabila perkara ini berlarutan? Siapakah yang akan memberi makanan kepada Keluarga kami.? Kepada semua Yang Berhormat,kami rakyat Pemandu Kereta menyokong Dasar kerajaan 1 Malaysia dan kami juga mengundi kerajaan Barisan Nasional bukan Rakyat Indonesia yang akan mengundi???

By: Pengerusi Dan AJK

Bekalan Elektrik 24 jam di Selangau, Sibu

Salam sejahtera, salam 1 malaysia,

Saya selaku anak kelahiran di daerah yang agak terpinggir ingin menyampaikan hasrat hati penduduk pedalaman kampung Arip (dareah Selangau, Sibu, Sarawak) Setelah sekian lama, pihak kami begitu mendambakan bekalan elektrik sepertimana kawasan lain. Bukankah agak keterlaluan jika pihak terbabit terlepas pandang kawasan yang terletak betul2 berdekatan dengan jalan raya utama sibu-bintulu tidak mendapat bekalan elektrik sedangkan berpuluh-puluh tahun jalan raya terbina.

Apa yang menyedihkan, kawasan tersebut adalah kawasan yang tidak oernah berpaling tadah dari kerajaan.pihak masyarakat yang menaruh harapan yang tinggi terhadap kerajaan hinggakan tidak pernah sekalipun ditewaskan. Jadi apakah yang dapat penduduk kami perolehi? Jika dipersoalkan kesabaran, rasanya penantian ini agak melampau bagim penduduk.Bayangkan harga minyak tanah & minyak diesel untuk generator yg terpaksa ditanggung oleh masyarakat pedalaman.taraf sosial turut terbantut , banyak perkara yang tidak dapat dinikmati untuk kemudahan penduduk.bahkan , penggunaan pelita minyak tanah masih sangat meluas.Bukankah risiko yang tinggi untuk terjadinya kebakaran di rumah2 panjang?

Mohon perhatian pihak terbabit memandang serius perkara ini, kami tidak berniat memalukan atau merendahkan pihak terbabit, tetapi memohon jasa baik. perhatian untuk memberikan kemudahan yang selayakkya diperolehi setelah sekian lama menanti.Bukankah projek hidroelektrik Bakun ada?

Penduduk di Arip sangat2 menantikan kemudahan ini bagi meringankan beban dan memperbaiki taraf hidup .Bekalan elektrik tidak sepatutnya ditumpukan di kawasan berkepentingan dari segi industri semata-mata, kami golongan masyarakat kampung juga banayak menyumbang kepada kerajaan.

By: Inya