Melihat kepada dunia pendidikan di malaysia sekarang, begitu banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi. Begitu juga banyaknya langkah-langkah diambil oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dalam usaha memajukan dan menambahbaik kualiti pendidikan negara sejajar dengan dasar-dasar yang dirancang secara jangka masa pendek mahupun panjang.

Kualiti institusi pendidikan negara tidak boleh tidak lari daripada mengambilkira pembangunan model insan guru terlatih dan bersahsiah unggul. Justeru pemantapan insan guru dibentuk melalui Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bertempat di Institut Pendidikan Guru di seluruh Malaysia. Program ini berjalan dengan lancar bersama beberapa penambahbaikan kurikulum dan kokurikulum serta program-program kerohanian sepanjang 5 tahun setengah pengajian. Sehingga kini Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) telah melahirkan beribu-ribu guru terlatih bersahsiah unggul di bawah program PISMP sejak tahun 2011. Bagi kohort keluaran tahun 2012 juga tidak kurang hebatnya menerima pujian dan menjadi kebanggaan sekolah-sekolah tempat mereka berkhidmat.

Perkara ini disifatkan sebagai amat berbaloi dengan pelaburan kerajaan persekutuan di bawah peruntukan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang menawarkan elaun pengajian kepada guru pelatih tanpa perlu meminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Peruntukan yang berjuta itu kemudian dibayar semula dengan perjanjian kontrak perkhidmatan di bawah fasal 2.7 (a) di mana guru pelatih dikehendaki untuk berkhidmat dengan  KPM setelah tamat pengajian selama 5 tahun. Tempoh perkhidmatan ini dilihat setimpal dengan peruntukan elaun yang telah banyak dibelanjakan ke atas guru-guru pelatih. Maka dengan ini, jelas ia adalah pelaburan jangka masa panjang yang berbaloi oleh pihak KPM.

Namun, apa yang terjadi di tahun 2013? Kohort ketiga di bawah program yang sama menghadapi pelbagai kesulitan menjelang tahun 2013 setelah menamatkan pengajian pada penghujung Disember 2012. Guru-guru pelatih terpaksa mengisi borang penempatan dari KPM, bahkan terpaksa mengisi lagi borang di Jobsmalaysia seperti graduan lain. Tidak cukup dengan itu, tiada satu kata putus diberikan oleh pihak KPM mengenai status penempatan kohort ini yang secara keseluruhannya mencecah 3700 orang ,sehinggalah pada pertengahan bulan Januari 2013.

Berita penempatan pada waktu tersebut diterima baik oleh graduan-graduan guru pelatih ini, tetapi amat menyedihkan apabila hanya kurang separuh daripada jumlah asal mereka ditempatkan sebagai guru interim. Mereka diinterimkan berdasarkan keperluan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan India (SJK(C), SJK(T)) di seluruh negara. Walaubagaimanapun mereka tetap bersyukur dengan rezeki yang diterima sekalipun interim itu bukanlah sebagai guru tetap. Tidak cukup dengan itu, timbul pula permasalahan di mana ada di antara mereka tidak diterima di sekolah-sekolah yang telah dihantar. Kes-kes ini berlaku di sekitar Selangor kebanyakkannya dan beberapa buah negeri lain. Jadi, bagaimana KPM mengatur hal ini? Adakah hanya umpama melepaskan batok di tangga?

Berbalik pula kepada nasib graduan guru-guru pelatih yang berbaki terpaksa menganggur dan bekerja sambilan berikutan tidak dapat bekerja tetap kerana terikat dengan kontrak KPM. Rata-rata di antara mereka ada yang telah berkahwin bahkan menimang cahaya mata dan juga bakal berumahtangga. Kewangan yang tidak menentu dan pekerjaan yang tidak tetap umpama mereka digantung tidak bertali oleh bakal majikan iaitu KPM sendiri. Apakah benar KPM tidak menjanjikan penempatan pada graduan PISMP? Jika benar, mengapa mengikat kontrak dengan guru-guru pelatih ini?

Penjelasan demi penjelasan telah dan sedang diraih dari pelbagai pihak. Kini tiba masanya untuk suara graduan IPGM kohort ketiga didengar oleh rakyat Malaysia. Bukan untuk memperlekehkan usaha KPM. Tapi sekadar menimbulkan persoalan mengapa penempatan mereka amat lewat dan begitu susah mahu memberi kenyataan tarikh tertentu? Persoalan lain pula, adalah suatu yang pelik apabila KPM melewatkan penempatan graduan-graduan ini tatkala sekolah-sekolah sedang tenat kerana guru yang tidak mencukupi.

Ironinya adalah isu ini terjadi tatkala graduan guru-guru pelatih ini begitu bersemangat mahu memikul beban tugas sebagai seorang guru yang begitu mencabar sekarang ini. Mereka amat berkeyakinan dan optimis dengan aspirasi pendidikan negara kerana telah diterapkan dengan begitu banyak pendedahan sewatu menuntut di IPGM. Mereka juga sentiasa cakna dengan perubahan sistem dan keperluan pendidikan negara bahkan pelbagai inovasi baharu telah dikaji dan diaplikasikan sepanjang mereka menjalani tempoh praktikum dahulu. Apakah masalah yang dihadapi sekarang akan memudarkan semangat mereka untuk menjadi seorang insan guru yang unggul? Ia bergantung pada pertimbangan KPM yang lebih arif.

Demi merungkaikan masalah ini, diharap pihak yang bertanggungjawab dapat meneliti perkara ini sedalam-dalamnya. Kita tidak mahu tenaga kerja yang dilatih menggunakan wang negara sejak bertahun-tahun tidak digunakan sepenuhnya. Di mana letaknya isi yang terpampang di dinding-dinding sekolah dan pejabat-pejabat pelajaran seluruh negara yang mengatakan, “…mengoptimumkan penggunaan tenaga profesional di sekolah…”. bagaimana ingin mengoptimumkan penggunaan tenaga andaikata sumbernya tidak diserap ke sekolah-sekolah? Janganlah kerana mahu menjaga hati sesetengah pihak untuk kepentingan dan agenda lain, sehinggakan sanggup membazirkan apa yang telah dibina dan dididik selama ini. Usah biarkan yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Yang benar,

Graduan IPGM Menganggur

By: YUSUF Y

PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan (di atas) dan komen (di bawah) yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.