≡ Menu

Perlombongan Pasir Haram di Kampung Pulau Jawa, Pekan

Perlombongan Pasir Haram di Kampung Pulau Jawa, Pekan

Salam dan selamat sejahtera, saya ingin menarik perhatian semua pihak berkenaan dengan email saya ini. Saya adalah penduduk Kampung Pulau Jawa. Saya telah dilahirkan dan dibesarkan di kampung ini. Kampung Pulau Jawa ini terletak di persisiran Sungai Pahang dan hampir dengan muka kuala Sungai Pahang. Penduduk kampung ini mempunyai hubungan yang erat sesama penduduk,kami ibarat keluarga yang besar. Hubungan yang erat ini membuatkan kami merasakan masalah yang akan saya kemukakan ini dalah masalah bersama.

Tujuan utama saya tergerak hati untuk mengirimkan email ini adalah kerana desakan daripada penduduk kampung ini sendiri apabila saban hari kami dapat melihat kerakusan sesetengah pihak yang menjalankan perlombongan pasir di hadapan mata kami. Hari demi hari operasi perlombongan yang dijalankan tanpa henti siang dan malam telah merosakkan suasana kampung yang sebelum ini terpelihara.

Kampung Pulau Jawa ini juga berhampiran dengan beberapa pulau kecil. Di atas pulau-pulau kecil ini lah telah berlakunya kegiatan perlombogan pasir haram. Saya percaya mereka menjalankan aktiviti ini TANPA SEBARANG KELULUSAN PERMIT YANG SAH. Mereka juga terdiri daripada beberapa pengusaha yang berlainan.Dalam masa satu bulan mereka telah menggondolkan pulau-pulau kecil ini dengan cepatnya. Pulau yang dulunya hijau kini sudah memutih dengan bukit-bukit pasir. Jika anda dalam perjalan ke Bandar Pekan melalui jambatan Sungai Pahang, anda semua pasti akan dapat melihatnya dengan jelas. Kesannya amat dasyat!

Perlombongan Pasir Haram di Kampung Pulau Jawa, Pekan

Disini ingin saya mengetengahkan beberapa kesan buruk hasil daripada kegiatan perlombongan haram ini.

Kegiatan perlombongan ini secara langsung telah merosakkan eko-sistem di sungai kampung kami. Keadaan sungai juga menjadi cetek dan keruh. Banyak kegiatan dan aktiviti perikanan penduduk yang terjejas akibat daripada pelombongan ini. Sebahagian penduduk kampung mendapat punca rezeki daripada hasil sungai, seperti merawai,memancing, memukat, menjaring dan menjala. Kini mereka tidak lagi dapat berbuat demikian kerana semua habitat sungai ini telah terganggu. Ini telah membuatkan penduduk kampung hilang punca pendapatan mereka.

BACA:  Jalan Utama di Kota Samarahan Tidak Berlampu

Mereka juga telah mengganggu aktiviti penternakan milik penduduk yang ditempatkan di atas kawasan-kawasan pulau yang berhampiran. Binatang ternakan seperti kerbau yang berada di atas pulau tersebut sudah kehilanggan tempat tinggal dan sumber makanan secara total. Tiada lagi pokok-pokok dan tumbuhan yang hidup di atas pulau itu. Ternakan itu terpaksa di pindahkan keluar dari pulau tersebut. Ini telah melibatkan kos yang besar kepada penternak terbabit dan mereka terpaksa mencari kawasan ternakan yang baru.

Kegiatan perlombongan ini juga telah menyebabkan hakisan tebing berlaku. Ini telah menimbulkan rasa kebimbangan yang tinggi kepada penduduk kampung mengenai keselamatan tempat tinggal mereka. Ini kerana kebanyakkan kediaman penduduk kampung dibina berhampiran dengan sungai. Hakisan tebing sungai juga menyebabkan rumah mereka semakin hampir dengan sungai.

Aktiviti perlombongan yang dilakukan siang dan malam tanpa henti ini menyebabkan pencemaran bunyi. Jentera-jentera jengkaut dan pam-pam pasir mereka mengeluarkan bunyi yang kuat. Bunyi ini telah menimbulkan keadaan yang tidak selesa terutamanya pada waktu malam. Keadaan ini amat berbeza dengan keadaan sebelum ini yang aman damai yang hanya ditemani dengan bunyi cengkerik di waktu malam.

Untuk makluman semua, pengusaha lombong pasir ini menggunakan pekerja asing yang tidak mempunyai permit kerja yang sah. Ini kerana ada ketikanya,apabila saya membuat rondaan dengan menggunakan bot peribadi saya,mereka kelihatan seperti dalam ketakutan dan melarikan diri untuk bersembunyi.

BACA:  Rumah Iklim Sederhana Empat Musim Terbiar Usang

Saya dan penduduk kampung telah pun membuat beberapa aduan mengenai perkara ini. Namun ianya ibarat mencurah air ke daun keladi. Tiada sebarang tindakan susulan dari pihak berwajib. Alasan yang mereka selalu berikan adalah “kawasan perlombongan tersebut adalah hakmilik KDYMM SULTAN PAHANG” dan mereka menjadikan itu sebagai alasan untuk tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memberhentikan operasi. Jika benar kawasan perlombongan ini adalah hak milik baginda, pasti baginda akan melakukannya dengan cara yang sah dan sudah tentu tidak akan terlibat sama sekali dengan aktiviti perlombongan haram ini.

Apa yang menggusarkan kami ialah pengusaha-pengusaha lombong pasir ini hanya menggunakan atau menjual nama KDYMM SULTAN PAHANG sebagai alasan untuk memasuki kawasan tersebut dan menjalankan kegiatan perlombogan pasir secara haram. Kami yakin, KDYMM SULTAN PAHANG tidak akan sama sekali menyusahkan rakyat Negeri Pahang. Baginda adalah seorang yang sangat perihatin dan sentiasa mengambil berat dengan masalah rakyat jelata.

Kami penduduk kampung memohon agar kegiatan perlombongan pasir haram ini perlu diberhentikan serta merta bagi mengembalikan dan mengekalkan keadaan dan keindahan alam sekitar kampung pulau jawa semula. Kami berharap tindakan susulan perlu dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkaitan selepas menerima email ini tanpa sebarang prejudis. Kami juga berharap, kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dapat menyelesaikan permasalahan ini dengan serta merta.

Bersama ini saya ada sertakan beberapa keping gambar keadaan di lokasi perlombongan tersebut.

Sekian terima kasih.

Hantar aduan anda di sini: www.aduanrakyat.com.my/hantar-aduan