Salam 1 Malaysia,

Saya selaku salah seorang pelajar di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun Terengganu. Saya ingin meluahkan rasa tidak puas hati saya dengan sikap segelintir pensyarah yang bersikap seperti guru sekolah. Saya mengatakan begini kerana:

  1. Sering memaki hamun pelajar di depan khalayak ramai walaupun pelajar tersebut hanya melakukan kesilapan kecil seperti baju tidak dimasukkan kedalam seluar (tuck in) dengan kemas.
  2. Pernah beberapa kali saya melihat pelajar dipaksa mencabut rumput di depan kelas atas kesalahan yang tidak diketahui.
  3. Seorang pensyarah ini telah merampas telefon bimbit pelajar di kelas dengan meminta secara kasar atas alasan pelajar tersebut tidak bersikap sopan kerana bermain SMS ketika pensyarah sedang mengajar. Padahal pensyarah yang sepatutnya masuk ketika itu belum lagi masuk. Kemudian pensyarah tersebut melihat isi kandungan telefon tersebut lalu berkata kepada pelajar di kelas yang diajarinya “Saya berani cakap perempuan ini tiada dara lagi“.
  4. Spotcheck rambut, pakaian, stoking, dan baju dalam pelajar sering diadakan pada setiap bulan. Khabarnya akan ada spotcheck perdana pada bulan ini.
  5. Saya pernah dimaki oleh seorang pensyarah kerana berbual dengan pelajar berlainan jantina ketika sedang beratur menunggu giliran di mesin ATM di hadapan PSMZA.
  6. Menghisap rokok secara terbuka dalam kawasan PSMZA.
  7. Segelintir pensyarah yang berasal dari pantai timur bersikap berat sebelah dengan memberi layanan buruk kepada pelajar yang bukan berasal dari pantai timur.
  8. Terdapat pensyarah yang memberikan markah penilaian berterusan(PB) yang amat tidak relevan kepada pelajar yang digemari dan dibencinya.

Tidakkah pensyarah-pensyarah ini sedar tindakan ini akan mengakibatkan para pelajar tertekan kerana dimalukan di khalayak ramai. Patutkah aktiviti spotcheck ini diteruskan lagi? Walhal ketika zaman sekolah, kebanyakan pelajar telah menempuhi zaman spotcheck-spotcheck ini dan saya masih lagi trauma akibat dibotakkan kepala oleh guru saya di khalayak ramai ketika zaman persekolahan saya dahulu.

Politeknik lain tidak pula mengamalkan peraturan begini, lihat sahaja di Politeknik Ungku Omar(PUO) dan Politeknik Shah Alam(PSA). Bagaimanakah pemakaian pelajarnya? Mungkinkah PSMZA ini berada di bawah kementerian yang berbeza? Tidak bolehkah pelajar-pelajar ditegur dengan cara baik? Mengapakah diperlakukan seperti pelajar-pelajar juvana? Saya memang tiada bukti untuk menuduh demikian, tetapi jika anda menjadi pelajar PSMZA, anda mungkin akan mengakui beberapa perkara daripada 8 perkara yang saya nyatakan diatas.

Mengapalah pensyarah bersikap demikian. Sepatutnya para pensyarah berusaha untuk memperbaiki dan menaikkan semangat pelajar untuk terus menuntut ilmu. Bukannya melunturkan dan melemahkannya. Pelajar politeknik mungkin tidak di pandang tinggi berbanding pelajar universiti. Tetapi mereka juga insan yang bergelar manusia. Manusia ini punyai hati dan perasaan. Kalaulah hal ini tejadi kepada saudara-mara mereka pasti mereka akan marah juga.

Pensyarah-pensyarah ini lebih baik mengajar di sekolah sahaja jika ingin bersikap demikian. Pelajar politeknik juga setaraf dengan pelajar di IPTA lain, maka layanan terhadap pelajar politeknik juga harus setaraf dengan pelajar IPTA.

Saya amat berduka cita terhadap situasi ini. Diharap setelah terpaparnya aduan saya ini, maka akan ada perubahan terhadap situasi di PSMZA yang saya cintai ini.

      “Our problems are man-made, therefore they may be solved by man. No problem of human destiny is beyond human beings.
-John F. Kennedy-

By: Osman

PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan (di atas) dan komen (di bawah) yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.