Seringkali guru- guru di kawasan pedalaman Sarawak dibayangi dengan imbuhan dan elaun yang mewah. Setiap kali berjumpa rakan- rakan guru di semenanjung atau sesiapa sahaja yang bertanyakan lokasi perkerjaan guru, dan apabila dinyatakan kawasan pedalaman Sarawak, tentunya terlontar ungkapan “wah, gaji besar, elaun banyak, pastinya dapat mengumpul duit yang banyak…” itulah saban kali ayat yang sering dituturkan. Namun sejauh manakah kenyataan ini benar? Bagi kami guru- guru yang berada di kawasan pedalaman, keperitan hidup akan dirasai oleh mereka yang pernah mengalami sendiri bagaimana perit dan sukarnya meneruskan kehidupan di sini.

Bila berbicara soal elaun, kami guru- guru di kawasan pedalaman Tatau, Bintulu masih lagi terpinga- pinga dengan penarikkan Elaun Perumahan Wilayah yang telah ditarik balik oleh Pejabat Pelajaran Daerah Tatau sejak awal Januari yang lalu. Apa yang menghairankan kami para guru di kawasan pedalaman ini, kami tidak menduduki kuarters guru, apatah lagi rumah kerajaan. Kami cuma diberikan rumah yang dibina hasil gotong- royong penduduk kampung (masyarakat Iban) dan rumah tersebut tidak dianggap sebagai rumah kerajaan, malah bekalan air bersih juga tidak ada hanya mengharapkan bekalan air dari bukit dan air hujan.

Merujuk kepada surat Edaran bertarikh 26 September 2011 dari Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak dan surat Edaran Pejabat Pelajaran Daerah Tatau bertarikh 11 Oktober 2011, Pembayaran Imbuhan Tetap Perumahan Kepada Pegawai Yang Bertukar Wilayah dan Disediakan Kemudahan Perumahan Yang Tidak Dianggap Sebagai Rumah Kerajaan Di Kawasan Pedalaman. Menjadi kemusykilan kepada kami para guru di sini, apakah kerana kami menduduki rumah yang disediakan secara gotong royong oleh masyarakat Iban secara langsung kami tidak layak menerima Elauan Perumahan Wilayah? Jika ini yang berlaku, alangkah beruntungnya kawan- kawan kami yang menduduki kuarters guru di pekan- pekan atau di bandar- bandar kerana mereka masih menerima Elaun Perumahan Wilayah kerana di dalam sebuah rumah hanya seorang sahaja yang akan dibuat pemotongan, malah kemudahan bekalan air bersih juga turut disediakan. Sedangkan kami terpaksa berjuang demi mendapatkan setitis air. Betapa peritnya mengangkut air dari sungai, mencatu bekalan air agar bekalan sentiasa ada, jika tidak, tidak berasaplah dapur dan tidak mandi lah kami di sini..

Persoalan kedua juga timbul apabila, terdapat rakan – rakan dari Semenanjung yang berkhidmat di kawasan pedalaman lain di Sarawak, masih lagi menerima Elaun Perumahan Wilayah sedangkan menduduki rumah standard Jabatan Kerja Raya (sabero). Bila persoalan ini diajukan kepada Pejabat Pelajaran Daerah Tatau, kami diberi pilihan, sama ada ingin menerima Elaun Perumahan Wilayah ataupun pihak Pejabat menarik balik Elauan Bantuan Hidup Susah (Elaun Pedalaman), sedangkan elaun ini secara langsung akan diterima oleh setiap kakitangan kerajaan yang berkhidmat di kawasan pedalaman. Perlukah diberi kata dua sebegitu oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah Tatau?

Untuk pengetahuan, kami juga telah membuat aduan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kesatuan Perguruan Malaysia (NUTP) baru- baru ini, namun tiada tindakan susulan dari kedua- dua pihak ini. Justeru itu, kami mengharapkan penjelasan dan pembelaan yang sewajarnya berhubung dengan perkara ini.

By: MOHD HAFIZ

PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan (di atas) dan komen (di bawah) yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.