MASALAH-MASALAH YANG DIHADAPI DI TAMAN WIRA MAS, JALAN KAMPUNG NAGA, KEPALA BATAS, KEDAH DARUL AMAN

Dengan segala hormatnya, merujuk kepada perkara tajuk. Saya, Ahli Jawatankuasa serta penduduk-penduduk Taman Wira Mas ingin memohon jasa baik serta merayu kepada pihak aduan rakyat untuk mengambil perhatian di atas permasalahan yang dialami oleh penduduk-penduduk taman ini seperti berikut:

  1. Sijil Menduduki Rumah (CF).
  2. Pemasangan Meter Air Individu.
  3. Permohonan Tong Sampah.
  4. Sistem Pembentongan dan Perparitan.

Sijil Menduduki Rumah (CF). Untuk maklumat pihak tuan , taman ini telah mula didiami sejak Dis 2007 lagi yang mana sehingga sekarang masih belum diberi Sijil Menduduki Rumah (CF). Ini berpunca daripada pihak pemaju yang tidak dapat melengkapkan struktur asas pembinaan sebagaimana yang dikehendaki oleh pihak yang berwajib. Selain dari itu, kami penduduk taman juga mengalami masalah kerana pihak pemaju iaitu Syarikat Tanjung Upaya tidak lagi beroperasi.

Pemasangan Meter Air Individu. Semenjak kami mula mendiami rumah ini pada Dis 2007, kami masih lagi belum mempunyai Meter Air disetiap rumah. Ini berpunca daripada pihak pemaju yang tidak mengeluarkan CF kepada penduduk-penduduk. Justeru itu, tujuan permasalahan ini dilaporkan adalah untuk kami mendapatkan bantuan dan sokongan kuat daripada pihak tuan bagi membantu kami dalam menyelesaikan masalah kelulusan pemasangan Meter Air Individu kepada kami. Sekiranya, perkara ini tidak dapat dilaksanakan, berikut adalah masalah-masalah yang mungkin akan timbul dan berlaku kepada kami di masa hadapan seperti berikut:

  • Bekalan air kepada penduduk yang dianggarkan seramai 250 penghuni pada ketika ini disalurkan melalui meter pukal yang dibilkan atas nama pemaju.
  • Kos penggunaan air di taman ini sekarang ditanggung oleh pemaju iaitu Syarikat Tanjung Upaya dengan anggaran tertunggak mencecah ratusan ribu ringgit. Justeru itu, sekiranya perkara ini masih berlaku, ianya berkemungkinan besar akan juga mengakibatkan penduduk ini menanggung hutang yang mungkin tidak mampu dibayar oleh penduduk.
  • Selain daripada itu juga, sekiranya pihak pemaju tidak dapat membayar hutang tertunggak tersebut, berkemungkinan besar pihak SADA Sdn Bhd akan memotong penyaluran air ke taman kami, dan ini mungkin akan menimbulkan masalah penggunaan air kepada semua penduduk di taman ini.
  • Untuk maklumat Yang Berbahagia Dato Wira, 80% daripada pembeli rumah taman ini adalah di kalangan anggota-anggota Tentera yang kebanyakannya telah bersara dan akan menamatkan perkhidmatan. Dengan pendapatan separuh gaji yang diterima setiap bulan, ianya juga akan memberi satu masalah kewangan kepada kami kelak.
  • Surat rayuan permohonan untuk mendapat kelulusan pemasangan meter juga telah dimajukan kepada pihak SADA Sdn Bhd pada 27 Apr 2011 dan pihak SADA Sdn Bhd telah menjawap surat tersebut pada 13 Jun 2011 (sesalinan surat daripada pihak SADA Sdn Bhd disertakan).

Permohonan Tong Sampah. Saya, Ahli Jawatankuasa serta penduduk-penduduk Taman Wira Mas juga ingin memaklumkan kepada pihak tuan berkenaan permohonan tong sampah di taman ini. Justeru itu, kami memohon jasa baik pihak tuan untuk membantu kami dalam menyelesaikan masalah permohonan tong sampah tersebut. Untuk maklumat pihak sebelum ini taman ini telah diperuntukkan tong sampah yang disenggarakan oleh pihak Idaman Environment sehinggalah pada awal bulan Jan 2011, tong sampah tersebut telah ditarik balik tanpa notis pemberitahuan. Seterusnya pihak kami telah memajukan surat kepada Yang DiPertua Majlis Daerah Kubang Pasu untuk mendapatkan kelulusan daripada pihak majlis pada 30 Mei 2011 bagi membolehkan pihak Idaman Environment memperuntukan semula tong sampah di taman ini , namun demikian, sehingga sekarang tiada jawapan daripada pihak majlis.

Permasalahan Sistem Pembentongan dan Perparitan. Selain daripada itu, taman ini juga mengalami masalah dengan sistem pembentongan dan perparitan, ianya lebih ketara apabila musim hujan turun berlarutan, kerana sampah-sampah dan juga air akan berlimbah keluar dari parit dan memenuhi jalan-jalan di kawasan taman ini. Seterusnya akan berlakunya longgokan sampah yang banyak sehingga mengeluarkan bau yang busuk. Perkara ini berlaku adalah kerana tiada satu saluran khusus disediakan untuk air dan sampah-sampah tersebut disalurkan keluar.

Oleh yang demikian, demi untuk kesejahteraan dan keselesaan penduduk-penduduk taman ini. Kami berharap dan merayu kepada pihak tuan agar dapat memanjangkan masalah-masalah yang dinyatakan di atas kepada pihak yang berwajib untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Akhir sekali, saya dan semua warga penduduk Taman Wira Mas sekali lagi ingin mengucapkan ribuan terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak aduan rakyat sekiranya masalah-masalah kami ini mendapat perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya. Terima kasih.

By: AJK TAMAN WIRA MAS

PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan (di atas) dan komen (di bawah) yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.