Salam Aduan Rakyat, baru-baru ini saya membeli sebuah kereta melalui lelongan awam G-Mart Subang. Saya dikehendaki membayar deposit sebanyak RM1500 sebagai cagaran.

Sebelum itu saya telah melihat keadaan kereta yang ingin saya bida tersebut. Kereta dikunci dan pihak gudang G-Mart mengatakan tiada kunci untuk dibuka dan dikatakan mereka tidak tahu cara membuka pintu kereta tersebut. Semasa saya melihat kereta tersebut, tiada sebarang kesan kemalangan. Tiada sebarang catatan dicatatkan di senarai kereta lelong mengatakan kereta tersebut adalah sebuah kereta yang biasa kemalangan teruk dan tiada perkataan “no refund”.

Sebelum lelongan dibuat Pihak G-Mart mengatakan bagi kenderaan-kenderaan lelongan Ambank, pemeriksaan puspakom belum dilakukan dan pembeli perlu membayar RM50.00 untuk pemeriksaan puspakom yang harus ditanggung sendiri oleh pembeli. Setelah bersaing dengan pembida-pembida lain akhirnya saya berjaya membida kereta tersebut dan seterusnya saya membayar tambahan RM50.00 untuk pemeriksaan Puspakom bagi kenderaan tersebut.

Setelah seminggu menunggu akhirnya keputusan pemeriksaan Puspakom telah siap mengatakan kereta telah dibaikpulih di bahagian pillar,wheel house, bahagian lantai penumpang kiri dan banyak lagi tetapi lulus tanpa apa-apa syarat oleh Pihak Puspakom.

Saya terkejut dengan keputusan tersebut dan menanya pihak G-Mart apakah saya harus buat jika saya ingin membatalkan hasrat untuk membeli kereta tersebut. Pihak G-Mart mengatakan saya boleh membuat “Refund” deposit dengan Pihak Ambank. Untuk proses “refund” saya telah membuat satu surat rasmi bersertakan keputusan puspakom seperti yang diminta oleh Pihak Ambank tetapi selepas seminggu saya dimaklumkan permohonan “refund” saya ditolak.

Saya menhubungi Pihak Ambank untuk bertanyakan sebab-sebab permohonan saya ditolak. Pihak Ambank mengatakan permohonan saya ditolak mengikut terma-terma jualan pihak bank tersebut padahal pihak bank tahu dengan keadaan kereta tersebut. Adakah terma jualan seperti ini boleh digunapakai? Bukan kah ini satu penyelewengan. Pihak Bank boleh menjual kereta yang tidak berkualiti tanpa membuat pemeriksaan Puspakom kepada orang awam dengan mengikat orang awam dengan satu perjanjian mengikut terma jualan mereka sendiri.

Pihak Ambank mengatakan tidak tahu sama sekali keadaan kereta tersebut walhal kereta tersebut kemalangan semasa mempunyai tuntutan hakmilik pihak Ambank. Pihak Ambank memberitahu saya harus membeli kereta tersebut atau deposit saya akan diambil oleh pihak bank. Pada pendapat saya, jika perkara ini dibiarkan berkemungkinan ramai lagi yang akan menjadi mangsa pihak bank seperti Ambank.

Satu undang-undang baru perlu diwujudkan bagi membendungkan penyelewengan dan sikap lepas tangan pihak bank. Pihak bank sepatutnya membuat pemeriksaan puspakom terlebih dahulu dan perlu menyistiharkan keadaan sesuatu kenderaan tersebut sebelum membuat sesuatu lelongan awam.

By: Krishnan A/L Kuppan

PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan (di atas) dan komen (di bawah) yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.