≡ Menu

Larangan Beli Minyak Petrol Guna Bekas

Stesen Minyak Petronas, Kuching Family Park, Jalan Sultan Tengah enggan menjual minyak menggunakan bekas kepada pengguna. Alasan diberikan mereka adalah kerana dilarang oleh Timbalan Pengarah KPDNKK yang tinggal tidak jauh dari stesen tersebut (Taman Family Park) yang telah memberi amaran sendiri kepada pemilik stesen tersebut. Sekiranya timbalan pengarah ini khuatir keselamatan sendiri dan keluarga, diharap boleh berpindah rumah ke tempat lain yang jauh dari stesen minyak.

Stesen minyak ini turut mempamerkan Notis Perhatian “Peraturan 12 A PPWB 1974″ yang mengkhususkan larangan penjualan minyak kepada kenderaan pendaftaran asing. Di mana dalam salah satu perenggannya terdapat arahan yang amat bercanggah dengan keperluan penduduk setempat, di perenggan (III) Penjualan minyak petrol dan diesel dengan menggunakan drum, tong-tong plastik atau apa-apa bekas adalah dilarang kecuali mendapat kebenaran bertulis daripada pegawai pembekal dan pembelian hanya dibenarkan sekali dalam sehari;”

BACA:  Servis Teruk Syarikat Kurier Skynet

Arahan ini adalah tidak munasabah memandangkan pengguna membeli minyak menggunakan bekas plastik atas banyak sebab seperti untuk kegunaan bot, kapal, jentera tanah, penjana elektrik, enjin rumput, kenderaan habis minyak dan sebagainya. Sekiranya untuk kegunaan komersial logik mendapatkan kebenaran bertulis, namun adakah pengguna yang memotong rumput dari rumah ke rumah juga perlu mendapat kebenaran bertulis? Adakah apabila seseorang habis minyak di tepi jalan perlu mendapat kebenaran bertulis? Adakah pemancing seperti kami perlu mendapat kebenaran bertulis? Sekiranya dirasakan arahan ini memang perlu, diharap KPDNKK boleh membuka “Kaunter Memohon Kebenaran Bertulis” secara harian mahupun berkala di stesen-stesen minyak bagi memudahkan urusan ini.

Untuk makluman pihak tuan, penggunaan minyak bagi kenderaan laut tidak boleh dibandingkan dengan kenderaan darat di mana konsumsi minyak enjin kenderaan laut adalah lebih kurang 10 kali ganda lebih banyak sekiranya dikira mengikut jarak perjalanan. Sebuah bot dengan enjin 200HP yang berkapasiti 5 orang pun sudah memerlukan minyak sehingga 300 liter (~RM600.00) bagi perjalanan pergi balik dengan jangka masa 4 ke 5 jam perjalanan. Bot nelayan kecil dengan enjin 30HP pula menghabiskan minyak 1 tong (23 liter) lebih kurang 1 jam 30 minit sahaja dengan kelajuan 15 knot/sejam @ 31.5 KM/jam.

BACA:  Masalah Pembelian Tiket KTMB Secara Online

Isu ini telah berlarutan sejak beberapa tahun namun baru dibangkitkan memandangkan ia menyusahkan kami sehingga perlu membeli minyak di stesen yang lebih jauh.

Diharap perkara ini mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak berwajib memandangkan perkara ini adalah keperluan bagi kami, periuk nasi kami. Sudahlah kerja kami berat, perlu mengangkat sehingga 10 tong minyak yang lebih 20kg naik turun jeti, disusahkan lagi dengan perkara seperti ini.

Hantar aduan anda di sini: www.aduanrakyat.com.my/hantar-aduan

ADUAN SETERUSNYA

Jalan Rosak di Kampung Beting Maro Betapa gembiranya kami penduduk kampung Beting Maro apabila telah berpuluh-puluh tahun siapnya jalan yang berbatu menghubungkan kampung kami ke du...