Pada 13 Januari 2013 di Giant Batu Caves Selangor, saya bersama anak keluar dari pintu hypermarket tersebut untuk menuju ke kedai buku berhampiran. Dalam perjalanan, saya disapa oleh seorang gadis yang pada awalnya saya tidak ketahui identitinya sebagai seorang wakil penjual, mengajak saya untuk mengisi boring kajian/tinjauan tentang alam sekitar. Sebagai balasan, saya ditawarkan satu beg kitar semula (shopping bag) berwarna hijau bertulis Barnes and Nobles. Bukan kerana tertarik semata-mata dengan beg itu tetapi lebih kepada ingin bekerjasama dengan kajian mereka, sayapun menurut. Jika saya ketahui awal-awal identiti dan tujuan mereka sudah tentulah saya tolak. Setibanya di petak jualan mereka, saya diyakinkan hanya perlu mendengar sambil mengisi borang kajian dan tidak perlu membuat apa-apa pembelian.

Pada ketika itu, saya mula sedar saya telah diumpan oleh kumpulan penjual tetapi kerana tidak ingin bercakap kasar dan hanya ingin memenuhi borang yang diberikan, saya akur. Sambil mengisi borang tersebut, saya ditanya bermacam-macam soalan seperti ‘adakah saya tahu kebaikan jenama dan produk mereka dan impak kepada alam sekitar’, ‘adakah barang mereka mahal’ dan pelbagai lagi. Setelah siap borang diisi, saya ditanya jika saya diberi pilihan, tiga barang manakah yang ingin saya miliki dari produk-produk mereka. Antara produk-produk mereka yang saya perasan:

  • Microwave
  • Induction Cooker
  • Water Filter Energy System
  • Water Filter Vacuum
  • Rice cooker

Secara jujur saya memang tidak mahu membeli barangan mereka kerana pada pendapat saya harganya agak mahal dengan jenama yang masih tidak dikenali itu. Hal itu saya nyatakan kepada penjual-penjual tersebut, tetapi dengan taktik mereka, mereka masih mempunyai hujah yang barang-barang mereka itu dijual dengan harga yang murah. Lebih-lebih lagi mereka menawarkan penurunan harga yang melampau dan pada saya tidak munasabah; dari lebih kurang RM6,000 kepada RM2,000 sahaja untuk pembelian 3 barang yang jelas sekali barang murahan dari China. Tidak mahu bergaduh, saya terangkan yang saya mungkin takkan membeli hari ini, kerana saya nak berbincang dengan emak saya di kampung dahulu memandangkan saya memang berniat menghadiahkan penapis air kepada emak.

Namun, penjual-penjual tersebut seperti tidak ingin melepaskan saya pergi, saya ditawarkan pula ansuran bulanan dan melalui kad-kad bank. Pada tahap ini, saya sudah mula hampir hilang sabar dan terus menolak. Mereka nampak terdesak bila melihat saya seperti tak makan umpan mereka , penjual yang ‘berpromosi’ dengan saya nampak sedikit marah kerana mungkin sebab saya ‘tak makan saman’. Akhirnya mereka seperti memaksa saya membayar duit deposit RM50 yang saya DIJANJIKAN SECARA MULUT dan ditulis secara umum pada resit bayaran, boleh dipulangkan pada bila-bila masa seumur hidup jika saya ingin batalkan pembelian/tempahan saya. Memang salah saya waktu itu saya tandatangan tanpa baca dahulu keseluruhan syarat-syarat yang dikenakan. Memang tertera di situ, wang deposit tidak akan dikembalikan jika belian dibatalkan, tetapi terdapat syarat lain seperti barang tempahan dianggap lupus jika baki bayaran tidak dibuat dalam tempoh masa 3 bulan yang mana syarat itu dibatalkan oleh penjual tersebut, jadi saya diberi peluang seumur hidup untuk menjelaskan bayaran tersebut.

Lebih kurang seminggu selepas itu, saya kembali bersama suami untuk menuntut semula wang deposit. Saya bercakap dengan penjual yang lain dari yang saya jumpa sebelumnya. Menurut dia, saya hanya boleh dapatkan duit itu pada hari bekerja sebelum pukul 6 petang dan perlu datang semula pada hari bekerja sebelum 6 petang. Pada 31 Januari (lebih kurang seminggu selepas itu) saya kembali pada waktu yang bersesuaian dan bercakap dengan gadis yang menyapa saya pada hari pertama itu. Katanya, memang duit saya kira hapus sebab kalau saya nak tuntut semula duit deposit itu, hanya boleh dibuat dalam hari yang sama bayaran dibuat, satu syarat baru yang amat tidak lojik jika mahu menjanjikan deposit dipulang semula. Saya mula naik angin dan minta penjelasan lanjut. Menurut dia, duit saya hanya akan diganti dengan sejenis barang mereka yang saya kurang kenal pasti (seperti termos) yang nilainya menurut mereka RM199. Saya beritahu barang itu tak bernilaipun bagi saya sebab saya tidak ada keperluan untuk itu. Tak cukup dengan itu, saya diminta untuk menghabiskan lagi masa dan duit minyak untuk kembali semula sekali lagi pada hari lain kerana van yang kononnya tempat termos itu disimpan dibawa ‘bos’ mereka ke tempat lain ketika itu. Kemudian suami saya masuk campur dan menyuruh mereka hantar sendiri barang tersebut ke rumah (rumah kami tak jauh dari situ) kerana tidak mahu membuang masa dan minyak berulang kali datang ke tempat itu sedangkan alasan mereka sentiasa berubah-ubah. Namun, sampai ke hari ini kami masih tidak dihubungi oleh mereka.

Di rumah, saya membuat carian internet dan dapati rupa-rupanya saya bukan mangsa pertama, malah ada lagi yang lebih teruk ditipu dengan jumlah wang yang banyak melibatkan jurujual produk jenama sama. Malah ada lagi kes seumpama ini di negara jiran Indonesia. Ini link-link yang berkaitan:

Pada mulanya saya ingin kemukakan hal ini ke Tribunal Pengguna. Memandangkan tribunal memaklumkan hanya boleh kembalikan sahaja wang RM50 itu tetapi tidak boleh mendedahkan nama syarikat tersebut, ia tidak menyampaikan tujuan saya yang mahu masyarakat tahu tentang kaedah penipuan ini dan nama syarikat itu (juga penjual-penjual tersebut) agar rakyat boleh menjauhkan diri sementara pihak berkuasa boleh mengambil tindakan sewajarnya. Bagi saya, melihatkan kes-kes/aduan-aduan yang tersebar di internet yang bukan sahaja di Malaysia tetapi sampai ke negara jiran sudah cukup membuktikan syarikat dan jenama terbabit harus disiasat dan diambil tindakan segera. Jika tidak, memang jelaslah pihak mereka ada ‘kabel’ dengan pihak berkuasa. Bayangkan kes-kes yang kita ketahui hanyalah melalui internet, bagaimana pula dengan mereka yang masih tidak ada ‘online’ akses untuk mengetahui hal-hal seperti ini, atau ‘worst case scenario’ golongan-golongan tua dan kurang berpelajaran ditipu duit simpanan mereka oleh syarikat yang tidak bertanggungjawab seperti ini. Saya juga pernah menimbangkan untuk membuat laporan polis sebelum dedahkan perkara ini di media tetapi khuatir jika kumpulan ini mempunyai kaitan dengan samseng dan gangster sehingga boleh mengancam keluarga saya. Oleh itu, saya menghantar kisah ini sebagai rujukan untuk pihak berwajib serta mampu menyebarkan kisah penipuan ini kepada semua rakyat dengan segera.

Kiraan mudah, jika mereka mampu menipu seorang pembeli sudah mendapat sehingga RM6,000 atau lebih, tiga mangsa seminggu sudah dapat membolot RM18,000 atau lebih. Jika dalam kes saya, deposit RM50 seorang, jika tiga orang sehari sudah RM150 atau lebih RM1,000 seminggu tanpa perlu menyerahkan sebarang barangan. Apabila pelanggan datang menuntut kembali deposit, konon mahu ganti dengan barang tetapi barang itu pula di tempat lain dan mangsa perlu datang kembali hari lain. Dengan sifat rakyat Malaysia khususnya orang Melayu yang rata-rata tidak suka membuang masa atau menyusahkan diri, tambahan pula untuk jumlah deposit yang agak kecil, akhirnya kumpulan penipu ini mendapat duit percuma hampir setiap hari dengan hanya menjual air liur. Ini tiada bezanya dengan skim cepat kaya, skim piramid, gores dan menang atau mana-mana cara penipuan yang menjadikan penjenayah-penjenayah ini jutawan segera, memudahkan lagi mereka membuat penipuan lebih besar kelak.

Saya berharap kisah ini dapat dikongsi dengan seramai mungkin rakyat Malaysia dan bagi media atau pihak yang mampu menyiasat dan mendedahkannya, tolonglah lakukan dengan segera agar tiada lagi antara kita menjadi mangsa. Bukan sahaja pihak berkuasa perlu bertindak, pihak pasar raya yang menyewakan tapak juga sepatutnya lebih bertanggungjawab dan menyiasat latar belakang penyewa agar pelanggan mereka tidak menjadi mangsa, seterusnya mencalit arang ke muka pemilik pasar raya itu sendiri. Di mana-mana pasar raya kini begitu mudah kumpulan penjenayah ini menapak, menahan orang ramai dengan hadiah picisan dan pamplet sebelum ‘memukau’ dengan bermacam taktik dan ayat menggoda. Ini sudah menjadi isu besar dan perlu tindakan segera. Walaupun kisah saya tidak seteruk mereka yang ditipu ribuan ringgit, diharap cukup untuk mengukuhkan harapan agar media, pihak berkuasa dan masyarakat setempat bersatu mengekang dan menghapuskan taktik penipuan di tempat-tempat kita membeli barang keperluan mahupun tempat membawa keluarga bersiar.

Terima Kasih,

By: Siti Seri Gombak

PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan (di atas) dan komen (di bawah) yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.