Saya ingin membuat aduan terhadap syarikat bas Transnasional. Saya mengharapkan agar aduan ini diambil perhatian oleh pihak berwajib kerana pada amatan saya, banyak individu lain yang telah membuat aduan terhadap syarikat bas tersebut. Namun, perkhidmatan yang diberikan masih pada tahap yang tidak memuaskan.

Untuk makluman, saya telah menaiki bas Transnasional pada 3 Februari 2013. Destinasi yang dituju adalah daripada Hentian Mini Kubang Kerian, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur. Oleh sebab saya keseorangan, saya ke kaunter untuk memastikan ketibaan bas saya, iaitu SKMK 188A pada jam 9.00 pagi. Saya diberitahu bahawa untuk menunggu pengumuman yang akan dibuat sekiranya bas saya tiba. Saya berasa lega dan selamat apabila dijanjikan akan diberitahu ketibaan bas. Namun, ketika bas tiba, tiada pengumuman dibuat dan perkara yang diduga berlaku, iaitu bas tiba lewat pada jam 9.30 pagi. Tetapi, destinasi bas tersebut adalah ke Shah Alam dan Klang. Pada amatan saya, mungkin itu bukan bas ke destinasi saya, iaitu ke Kuala Lumpur dan tiada pengumuman dibuat. Disebabkan rasa khuatir, saya bertanya pemandu bas tersebut. Saya agak terkejut kerana diberitahu bahawa saya patut menaiki bas tersebut. No plat bas tersebut ialah WRW 8408. Saya sangat kecewa dengan pihak kaunter Transnasional Kubang Kerian kerana tidak membuat sebarang pengumuman seperti yang dijanjikan. Jika saya tidak bertanya, saya pasti akan ketinggalan bas tersebut untuk pulang ke Kuala Lumpur.

Apabila saya menaiki bas tersebut, saya bertanya kepada pemandu kedua (co-pilot) bas itu di mana tempat duduk saya. Kemudian, saya diberitahu bahawa tempat duduk di dalam tiket saya telah ditukar kepada tempat duduk lain, iaitu dari KC kepada FB. Saya tidak kisah. Kemudian, saya maklumkan berkenaan seorang rakan saya yang akan naik dari Dataran Kok Lanas dan telah memaklumkan pihak Transnasional terlebih dahulu. Tiba-tiba pemandu bas tersebut mempertikaikan perkara tersebut dan saya perlu menerangkan beberapa kali kepada pemandu bas tersebut. Kemudian, saya memaklumkan kepada pemandu bas tersebut bahawa saya sepatutnya duduk bersebelahan rakan saya dan saya berharap dapat duduk bersama rakan saya. Namun, pemandu tersebut menyatakan bahawa saya tidak boleh duduk bersebelahan rakan saya dan pemandu tersebut perlu mengutamakan penumpang ke Shah Alam dan Klang. Saya berasa dianaktirikan kerana saya juga merupakan penumpang bas tersebut dan saya juga membayar untuk tiket saya. Tetapi, penerangan yang diberi kepada saya adalah dalam dialek Kelantan dan sangat kasar. Adakah kerana saya orang luar, pemandu bas itu tidak mendengar aduan saya dan menjawab dengan kasar? Saya juga menyatakan bahawa saya mengadu kepada pemandu tersebut sebab berasa tidak puas hati. Namun yang dijawabnya ialah “ Kalau nak buat aduan, bukan pada saya, tapi pergi ke kaunter bas Transnasional” Adakah itu cara seorang pekerja berkomunikasi kepada penumpang? Saya merasakan bahawa tindakan pemandu itu sangat tidak profesional dan kurang ajar terhadap penumpang bas.

Kemudian, untuk mengelakkan perselisihan faham, saya duduk sahaja di tempat duduk FB seperti yang diberi oleh pemandu tersebut. Namun, ketika di Kota Baru untuk mengambil penumpang lain, saya didatangi oleh seorang makcik dan mengatakan bahawa tempat yang saya duduk adalah tempat dia. Disebabkan itu, saya bangun dan bertanya semula kepada pemandu bas tersebut. Kemudian, jawapan yang diberi adalah nombor siri bas itu sudah lain dan menyusahkan pemandu itu untuk meneliti satu persatu. Pada saya, itu adalah masalah pengurusan pihak Transnasional dan bukan perlu menyusahkan penumpang yang terpaksa bertukar-tukar tempat duduk, seolah-olah saya tidak membayar tiket dan hanya menumpang bas tersebut. Kemudian, pemandu tersebut berjumpa dengan makcik itu dan memaklumkan hal berkenaan. Kemudian, pemandu itu berkata kepada  makcik tersebut bahawa “ Mek tu banyak sangat komplen” dan merujuk kepada saya. Saya berasa terhina dengan kata-kata pemandu tersebut dan perbualan kami menjadi perhatian penumpang lain. Saya sangat tidak faham dengan masalah pemandu tersebut. Saya merasakan masalah tidak akan timbul jika mereka memberitahu kepada penumpang bahawa ‘free seat’ sahaja. Tetapi itu tidak berlaku.

Kesimpulannnya saya merasakan bahawa kebajikan penumpang langsung tidak diambil peduli oleh pihak Transnasional. Saya berasa sangat terhina dan kecewa dengan sikap pemandu tersebut, di samping kecewa dengan pihak kaunter Transnasional di Kubang Kerian, Kelantan. Saya juga berasa tidak diambil peduli kerana mungkin kerana saya adalah orang Kuala Lumpur dan tidak pandai berdialek Kelantan. Oleh itu, saya sangat berharap supaya pihak Transnasional atau pihak berwajib mengambil tindakan kepada pekerja-pekerja yang tidak menjaga kebajikan dan menghina penumpang bas. Selain itu, banyak lagi yang saya perhatikan kelemahan Syarikat Bas Transnasional meskipun perkhidmatan bas tersebut telah berpuluh tahun beroperasi di Malaysia. Namun, Perkhidmatan yang ditawarkan masih tiada perkembangan positif dan banyak aduan yang dibuat tidak diambil peduli.

Insan Kecewa

By: yuhanis

PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan (di atas) dan komen (di bawah) yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.