Selamat Pagi Aduan Rakyat,

Terima kasih saya ucapkan kerana sudi membaca aduan yang dibuat oleh rakyat Malaysia. Saya bukanlah penduduk di kawasan Meru, Klang. Tetapi saya adalah salah seorang penduduk yang menetap di Bandar Puncak Alam dan berulang alik menaiki motorsikal ke Klang setiap hari.

Aduan saya ialah berkaitan keadaan jalan raya dari Bandar Puncak Alam ke Klang. Seperti tajuk aduan, keadaan jalan raya yang sangat berbahaya kerana mempunyai banyak persimpangan kecil, sekolah dan kilang-kilang. Ini ditambah dengan keadaan jalan raya yang tidak rata dan berlubang dan juga banyak lori-lori besar seperti lori kontena, lori sampah, bas-bas, dan juga jengkaut(backhoe) yang menggunakan jalan ini untuk ke Kuala Selangor atau Sungai Buluh.

Kami sebagai rakyat memang faham akan tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan kemudahan yang bertaraf dunia untuk rakyat dan bukan hanya untuk memikirkan masalah kecil seperti ini. Tetapi bak kata Karam Singh Walia, “Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit”. Samalah dengan keadaan di jalan meru ini.

Banyak kemalangan yang saya sendiri saksikan di jalan ini, jika kita buat penyelidikan tentang mengapa berlakunya kemalangan di jalan raya, kita akan dapati bahawa bukanlah kelajuan sahaja yang membunuh, tetapi keadaan jalan raya juga memainkan peranan yang sangat penting.

Sebagai contoh,  sebuah kereta mengelak sebuah lubang dan secara tidak sengaja melanggar sebuah motorsikal di sebelahnya. Nak dijadikan cerita, pembonceng motorsikal tersebut terjatuh dan telah dilanggar oleh sebuah lagi kereta yang berada dibelakangnya.

Saya berharap pihak Aduan Rakyat dapat membantu dalam menyelesaikan hal ini, kami bukanlah meminta untuk jalan raya tersebut dinaiktaraf menjadi lebuhraya, tetapi kami hanya meminta keadaan jalan raya tersebut dapat diperbaiki supaya semua pengguna jalanraya di Jalan Meru dapat menggunakan jalan tersebut dengan selesa.

Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat.

By: Mohd Khairi

PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan (di atas) dan komen (di bawah) yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.