
Jabatan Perikanan Daerah Segamat tidur
Sungai adalah segalanya bagi kita, di situlah kita sumber air bersih untuk kita minum dan sungai juga lah tempat segala haiwan bergantung hidup, tanpa sungai akan terhapuslah segala salsilah kehidupan di mukabumi ini. Sanggupkah kita mencemarinya hanya kerana keuntungan yang sementara? dan jawapannya ialah “YA” dan itulah yang sanggup dilakukan oleh segelintir manusia di daerah Segamat ini.
Sungai Segamat dan Sungai Muar sebenarnya amat berpotensi untuk menjadi tarikan pelancong dan tumpuan pemancing satu Malaya. Tahniah buat Jabatan Penerangan Malaysia yang telah nampak potensi tersebut dan dengan usaha Timbalan Perdana Menteri, satu pertandingan Memancing Udang Galah Piala Timbalan Perdana Menteri telah diadakan dengan tawaran hadiah lumayan iaitu RM10,000, satu usaha murni kerajaan untuk menggalakkan industri pelancongan pada tahun 2011 dan ianya akan tercatat dalam kalendar pelancongan, bangga rasanya menjadi penduduk Segamat.
Masih Aciq ingat bagaimana di tahun-tahun 80an sewaktu menjala di sungai ini, udang dan ikan amat mudah didapati, jika terjumpa tayar-tayar buruk atau tin-tin di dalam sungai, tarik sahaja ke daratan pasti ada udang atau ikan-ikan di dalamnya. Kini usahkan tarik tayar atau tin kosong dijala sekalipun tak tentu lagi ada udang atau ikan yang masuk.
Berbalik kepada isu racun yang sewenangnya dicurahkan di aliran sungai-sungai Segamat dan Muar ni, kami yang memang kaki pancing di sini sememangnya tahu siapa dalang yang melakukan semua ini tapi tiada bukti nyata untuk diketengahkan. Bayangkan, sepanjang sungai Segamat dan Sungai Muar ini, berpuluh Ambai dan jaring haram yang merentanginya, apakah maknanya semua ini? bukankah Lesen Ambai telah dibekukan. Tetapi mengapa masih ada yang wujud di sungai ini? keadaaan tidak terkawal inilah sebenarnya penyumbang kepada kerakusan segelintir manusia untuk mengaut keuntungan sendiri tanpa memikirkan kesan kepada alam sekitar dan penduduk sekitar khasnya. Bayangkan dahlah sungai yang menjadi sumber minuman kita diracun, udang yang diracun itu pula dijual kepada masyarakat setempat, zalimnya manusia ini.
Apakah peranan Jabatan Kerajaan yang ditugaskan mengawasi sungai-sungai di Daerah ini? Jabatan Perikanan Daerah Segamat? apakah sumbangan mereka? kenapa dibiarkan sahaja sungai Segamat ini sehingga ada individu yang sempat mengambil kesempatan merosakkan sistem sungai ini. Tidak malukah mereka mengambil gaji setiap bulan tetapi hanya duduk di kerusi empuk berhawa dingin? bangunlah kawan dan buat kerja anda atau sekurang-kurangnya jika malas meronda di sungai-sungai buatlah laporan kepada pihak atasan masalah-masalah di kawasan anda. Laporkan tentang struktur haram yang terbentang merentangi sungai-sungai di kawasan jagaan anda. Inilah puncanya mengapa aktiviti meracuni sungai berleluasa di sini.
Benarlah slogan mencegah lebih baik dari mengubati, cegah dan tegah mereka ini dari terus melakukan jenayah, musnahkan dahulu asasnya, tebang semua struktur ambai, potong jaring-jaring haram. barulah mereka ini tiada kesempatan dan peluang melakukan jenayah terkutuk ini.
Untuk makluman semua, dalam masa selang dua minggu, telah dua kali kejadian meracun udang terjadi di daerah ini, pantang air surut, ada saja yang mengambil kesempatan meragut hasil sungai ‘udang’ dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan kesan dan akibat dari tindakan mereka, mereka inilah manusia tidak bertamadun yang masih wujud dikalangan kita.
Akhirkata siapakah yag harus dipersalahkan? manusia durjana ini kah atau badan penguatkuasa atau lebih jelas Jabatan Perikanan Daerah Segamat? Sebagai manusia kita ini memang mudah mengambil peluang dari kelalaian orang lain untuk kepentingan sendiri makanya nasihat Aciq kepada Jabatan Perikanan Daerah Segamat? buatlah sesuatu yang dapat menutup peluang golongan oportunist ini.musnahkan yang haram jalankan tugas anda moga keperihatinan anda dapat mengwujudkan keharmonian di Daerah ini.
Sekian, Salam
By: amrqais
| PERINGATAN: AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my. |




