Kami mewakili sebahagian besar daripada guru-guru pelatih PISMP Ambilan Januari 2009 keluaran Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah menamatkan pengajian pada bulan November 2012.

Untuk pengetahuan semua, sebahagian daripada kami telah ditempatkan secara interim di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) yang majoritinya adalah daripada kaum Cina dan India serta sebahagian daripada kaum Melayu untuk ditempatkan di sekolah disebabkan oleh keadaan guru yang kritikal di SJKC/T.

Bukan untuk menimbulkan isu perkauman di sini kerana mereka ditempatkan di sekolah namun terdapat sedikit situasi yang kurang senang kerana ada sebahagian daripada guru pelatih yang sepatutnya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) telah ditarik ke SJKC/T.

Malah ada dalam kalangan guru pelatih yang tidak fasih bahasa ibunda mereka juga turut ditarik ke SJKC meninggalkan kami yang perlu ke SK terkapai-kapai menunggu penempatan ke SK yang entah bila berkunjung tiba. Menteri berkenaan juga turut mengatakan bahawa guru-guru pelatih yang ke SK perlu ditemuduga terlebih dahulu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang wajib dilalui oleh setiap penjawat awam tidak seperti kumpulan ke SJKC/T yang diberikan interim terlebih dahulu.

Di sini wujud ketidakadilan dalam penempatan guru. Slogan 1 Malaysia tidak dipraktikkan di sini kerana tidak berlaku penempatan di SK. Ada juga aduan dalam kalangan kami iaitu dalam satu kelas, hanya dua orang daripada rakan mereka diinterimkan dan selebihnya terpaksa menunggu.

Masalah kekurangan guru bukan sahaja di SJKC/T malah di SK juga. Ada segelintir guru-guru sekolah daripada senior kami yang tertunggu-tunggu bila kami akan ditempatkan di sekolah mereka bertugas sebagaimana sebelum ini iaitu seawal Januari dan awal Februari guru baru ditempatkan.

Jika masalah ini berlanjutan maka kami akan menjadi kumpulan terlambat dalam sejarah kumpulan PISMP keluaran IPG ditempatkan di sekolah. Kumpulan kami tidak seperti dua kumpulan terdahulu (Ambilan Januari 2007 dan Januari 2008). Kumpulan Pertama mula diserap lebih awal iaitu sebelum temuduga lagi. Begitu juga Kumpulan Kedua diserap seawal Januari 2012 (temuduga sejurus tamat kursus) tanpa masalah yang besar. Kemungkinan Pilihan Raya Umum yang menjelang tiba ini menjadi puncanya.

Kumpulan ketiga ini diibaratkan menjadi ‘tikus makmal’ kementerian. Cukuplah kami menjadi tikus makmal KPM dalam dasar-dasar sebelum ini yang akhirnya entah ke mana seperti PPSMI. Kami berpendapat kalau hendak memberikan interim sekalipun tidak perlulah hanya untuk SJKC/T sahaja, SK pun kritikal juga keperluan guru.

Kami juga guru pelatih PISMP terikat dengan kontrak Perjanjian Pendidikan Guru (PPG) dengan Kementerian Pelajaran Malaysia yang perlu dipatuhi sebagai rakyat yang bertanggungjawab terhadap undang-undang yang termaktub oleh kerajaan. Di bawah fasal 2.7 (a) di mana kami dikehendaki untuk berkhidmat dengan kerajaan sahaja. Maka kelewatan Kementerian Pelajaran Malaysia memberikan penempatan kepada kami telah menyulitkan kehidupan kami secara amnya.

Kami tidak dapat bekerja sambilan untuk menampung kehidupan selama pengangguran kerana terikat dengan kontrak tersebut. Rasa serba salah turut menyelubungi diri kami. Malahan ada di antara kami yang sudah berkahwin memerlukan wang untuk menyara isteri dan anak. Ketiadaan pekerjaan menganggu kelangsungan hidup kami. Kami selaku guru pelatih keluaran IPGM yang telah dilatih untuk menjadi seorang guru selama 5 tahun setengah sudah tidak sabar lagi untuk menjalankan tugas sebagai seorang pendidik. Kami sangat bersemangat dan amat berkobar-kobar untuk mendidik anak bangsa berkat usaha didikan para pensyarah kami di 27 IPG seluruh negara.

Oleh sebab itu kami amat berharap dengan tersiarnya surat aduan ini di dalam akhbar pihak tuan, ia dapat membuka mata pihak Kementerian Pelajaran Malaysia agar mengambil tindakan segera terhadap masalah kami ini. Tidak timbul isu lambakan guru seperti disiarkan akhbar baru-baru ini sedangkan IPG masih lagi mengadakan pengambilan secara berterusan setiap tahun. Memang benar rezeki daripada tangan Allah yang mengurniakan tetapi kalau kami tidak berusaha, tidak ada gunanya juga. Pendidikan Perguruan bukan untuk diniagakan dan kami juga sebagai guru pelatih tidak mahu dilelong sebagaimana watak di dalam filem ‘3 Abdul’ yang dilelong di pasar untuk masuk sebagai guru di sekolah.

By: ali

PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan (di atas) dan komen (di bawah) yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.