Salam Tuan,

Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan jutaan tahniah di atas kejayaan Bank Negara Malaysia mengeluarkan produk duit syiling negara siri yang ketiga. Siri duit syiling terbaru ini sangat mencerminkan keunikan Malaysia dari segi kepelbagaian kaum dan budaya.

Pada hemat saya, tidak salah kita mengubah corak rekabentuk dan material yang digunakan. Namun, sebagai rakyat Malaysia dan juga sebagai pengguna yang bertanggungjawab, saya ingin mengesyorkan supaya pengeluaran duit syiling atau wang kertas negara ini yang baru, pada masa akan datang hendaklah mengambil kira faktor saiz dan berat yang sama hendaklah dikekalkan.

Maksudnya, walaupun rekabentuk dan material diubah, namun berat dan saiz hendaklah dikekalkan supaya kemudahan awam seperti telefon, mesin parking dan sebarang peralatan yang menggunapakai wang kertas dan duit syiling sedia ada tidak perlu dinaiktaraf dan pengusaha berkaitan juga tidak perlu mengeluarkan kos yang tinggi bagi tujuan pelarasan ini.

Hal ini penting diperhalusi bagi mengelakkan permasalahan yang timbul dalam urusan seharian rakyat Malaysia, selaras dengan hasrat Kerajaan, “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Besarlah harapan saya sekiranya perkara ini mendapat perhatian pihak berkaitan supaya banyak masalah dapat dielakkan dan penjimatan dapat dibuat. Islam juga menggalakkan kita supaya mempermudahkan urusan, bukan menyukarkan dan membazir itu juga amalan yang tidak baik.

Sekian, terima kasih.

By: H.A. Lim

PERINGATAN:  AduanRakyat.com.my tidak bertanggungjawab terhadap aduan (di atas) dan komen (di bawah) yang diutarakan melalui laman web ini. Ia adalah aduan peribadi pengadu dan tidak semestinya menggambarkan pendirian AduanRakyat.com.my.