Pemasangan Kabel Elektrik di Rumah Panjang

Hampir menyambut hari Kemerdekaan tidak lama lagi namun bekalan elektrik ke rumah panjang kami di Sungai Bawan Kanowit masih belum siap disambung lagi. Walaupun demikian,setelah sekian lama bergelap tanpa bekalan elektrik, kami sangat berterima kasih kepada kerajaan kerana sekarang telah mula memberikan perhatian terhadap keperluan tersebut. Walaupun belum siap,(Rumah Panjang kami belum lagi disambung dengan bekalan elektrik) namun usaha yang dalam proses memasang kabel atau wayar elektrik di Rumah Panjang kami sangat memberikan harapan.

Wajah ceria tak sabar-sabar menggunakan bekalan elektrik tersebut telah diekploitasi oleh pihak yang saya anggap tidak bertanggungjawab.Saya tidak berapa pasti kenapa keadaan ini berlaku tetapi saya merasakan bahawa pihak yang tidak bertanggungjawab ini ( Kontraktor yang memasang kabel di Rumah Panjang Kami) mengambil kesempatan di atas kejahilan penduduk rumah panjang.

Hari ini 26/8/2013 saya dimaklumkan bahawa pihak kontraktor telah mengarahkan pihak rumah panjang sediakan papan serta memasangnya sendiri di dinding depan rumah atau bilik masing-masing bagi memudahkan mereka memasang kabel elektrik tersebut.Adakah perkara ini perlu wahai pihak Sesco ? Mengapa tidak boleh dipakukan terus ke dinding simen rumah tersebut ? Adakah itu syarat untuk pemasangan kabel tersebut sebab kontraktor yang terbabit mengugut ahli rumah panjang untuk tidak memasang kabel elektrik ke rumah panjang kami sekiranya papan yang diperlukan tidak dipasang terlebih dahulu.

Saya terpanggil untuk membuat aduan ini kerana bagi saya, tidak kisah sangatlah penyediaan papan tersebut kerana itu bukan isunya. Yang saya tidak puashati adalah ugutan untuk tidak mahu menyambung kabel elektrik tersebut atas alasan mesti ada disediakan papan tersebut yang berukuran 12 kaki panjang,6 inchi lebar dan 1 inchi tebal. Apakah keperluan papan tersebut dari segi logik keselamatankah? Kalau ya tidak apalah juga namun saya dapati di rumah Panjang di tempat lain yang telah dipasang kabel misalannya di daerah lain seperti di Tada, Sengan, Jalan Oya Sibu dan sebagainya tidak ada juga dipasang papan tersebut tetapi terus dipakukan ke dinding simen rumah mereka. Atau mungkinkah ianya keperluan baru untuk pemasangan kabel elektrik yang terbabit ?

Yang menjadi persoalan saya ialah, perlu sangatkah papan tersebut disediakan sehingga mereka mengugut tidak akan memasang kabel tersebut sekiranya tidak disediakan. Pada hemat saya,pihak kontraktor hanya ingin memudahkan kerja mereka dan mendapat untung berlipat ganda. Keduanya mereka memperlekehkan penduduk rumah panjang dengan mengambil kesempatan terhadap keterujaan mereka untuk mendapatkan bekalan elektrik yang sememangnya ditunggu-tunggu sejak berdekad lamanya selepas Malaysia merdeka.

Memang isu perbelanjaan untuk perkara tersebut juga timbul kerana penduduk rumah panjang bukannya ada pendapatan yang tetap lagipun mahu membeli papan tersebut yang kini kosnya agak mahal adalah membebankan ahli rumah panjang yang tidak berkemampuan. Dahlah ditambah dengan kos pemasangan yang lain termasuk lampu,soket dan sebagainya yang mereka caj kepada penduduk rumah panjang yang hanya tahu angguk sahaja.Belum lagi caj tersembunyi yang mereka tanggung yang mereka tidak tahu kerana yang penting bagi mereka bekalan elektrik dapat disalurkan secepat mungkin. Janji demi janji ditabur bagi penyaluran bekalan elektrik tersebut namun masih juga tak siap-siap. Aduhai… kesiankanlah rakyat Malaysia yang menyokong kerajaan yang ada sekarang ini dengan jari telunjuk mereka,janganlah diperkotak-katikkan mereka walaupun mereka agak lembap dalam memperjuangkan hak mereka.

Atas isu tersebut saya telah telepon bahagian ‘Customer Services” Sesco bahagian Sibu namun telah dikehendaki menghubungi Sesco Kanowit. Telepon Sesco Kanowit untuk bertanya namun mereka tidak tahu siapa kontraktor yang terlibat.Mereka tidak ada rekod dan menyalahkan pihak rumah panjang kerana tidak tahu siapa kontraktor tersebut. Adakah tender tersebut tidak terbuka ? Tidak dibuat sebut hargakah? Hairan-hairan dan amat menghairankan sekiranya pegawai yang terbabit tidak tahu-menahu tentang perkara yang berlaku di bawah jagaannya…..

Saya berharap pihak Sesco mengambil perhatian terhadap perkara ini dan memberikan penjelasan yang sewajarnya kepada rakyat supaya tidak timbul syak dan ekploitasi pihak kontraktor terhadap rakyat yang sememangnya telah miskin dan dimiskinkan lagi oleh perakus jahanam yang hanya tuhan sahaja akan membalas kerakusan mereka nanti.

Salam Merdeka.

By: Rumah Panjang Sg.Bawan.Jln.Nibong-Tada Kanowit

Aduan Tentang Pertukaran Meter dan sikap pekerja TNB

Saya tinggal di kawasan perumahan kos rendah di Rasa, Hulu Selangor, Selangor, ingin membuat aduan tentang bil elektrik di rumah saya sangat tinggi setiap bulan mencecah RM500 lebih. Saya bandingkan dengan rumah kawan saya di kuala lumpur rumah 2 tingkat dan mempunyai peralatan yang sama tetapi bil elektrik setiap bulan hanya RM200 lebih sahaja.

Saya telah membuat aduan di TNB dan pekerja TNB datang periksa tetapi pekerja TNB itu berkata peralatan di rumah saya “cap ayam” sebab itu bil elektrik tinggi. Pekerja itu juga berkata sebenarnya dia bukan person in charge dan pekerja yang sebenar tidak dapat datang kerana mempunyai kerja lain. Adakah patut bukan bidang pekerja itu tetapi dia yang datang respon tentang aduan yang saya buat?Dulu saya juga ada membuat aduan di TNB Rawang tentang sudah 3 bulan tiada pekerja meter reading datang ke kawasan perumahan saya tetapi pekerja disitu menyuruh saya mengumpul orang kampung dan membuat aduan di tv3.

Apakah fungsi mereka di situ?makan gaji buta? Saya harap ada pihak yang boleh menyelesaikan masalah ini kerana tiada guna membuay aduan di TNB.

Sekian, terima kasih.

By: liyana

Masih Tiada Bekalan Elektrik Walaupun Bukan di Pendalaman Sarawak

Saya hairan sekali mengapa Kampung Sungai Pinang, Jerok & Sungai Tapang Simunjan di langkau tanpa ada bekalan elektrik?  Adakah kerana kami, penduduk2 kampung terlalu baik sampai Kerajaan memberi keutamaan kepada Kampung2 lain yang selalu mengundi pembangkang?  Kebanyakkan yg mengundi pembangkang di utamakan.  Abok, Telagus, Nyelitak etc.. semuanya pengundi parti pembangkang.

Tetapi mereka sekarang dah senang lenang dapat menikmati bekalan elektrik 24jam.  Bill elektrik lagi murah berbanding membeli minyak ron95 tiap2 minggu kerana memakai generator.  Adakah ini taktik memancing undi?  Saya rasa tak puas hati, kerana kampung kami (Sungai Pinang) bukannya pendalaman.  Lagipun dekat kampung kami adalah stesen penternakan (Jabatan Pertanian).  Dulu ada biri2, sekarang tinggal rusa.  Bila lagi nak merasa bekalan elektrik 24jam?  Minyak makin lama makin naik dan membebankan.  Setakat bagi generator memang tak berbaloi.  Baru setahun dah rosak.

Janganlah pihak terbabit mengambil kesempatan terhadap penduduk yang baik hati sampai orang lain didahulukan.  Bagilah orang-orang yang duduk kampung merasa bekalan elektrik sebelum ajal mereka sampai.

Bosan dengan taktik sekarang memancing undi.

Sekian…

By: Mira

Bil Elektrik Naik Mendadak Setelah Tukar Meter Baru

Saya baru membeli sebuah rumah daripada seorang individu. Saya telah diminta untuk menukar meter elektrik rumah itu kepada nama saya. Jadi saya memohon pertukaran meter elektrik tersebut. Saya telah mendiami rumah itu 3 bulan sebelum meter elektrik tersebut ditukar kepada yang baru. Sejak saya tinggal dirumah itu bil elektrik saya tidak pernah mencecah RM20.00 sebulan tetapi selepas sahaja meter ditukar bil elektrik rumah saya naik mendadak sehingga RM 181.05 sebulan.

Saya telah membuat aduan kepada TNB tetapi pihak TNB tidak mahu bertanggungjawab. Mereka tetap salahkan kami. Kemudian pada bulan seterusnya apabila bil elektrik sampai dirumah saya terus membuat perbandingan terhadap meter elektrik saya dengan bacaan di bil. Ternyata bacaan meter di bil saya jauh lebih tinggi dari bacaan di meter elektrik saya. Saya mengambil gambar meter tersebut dan ajukan kepada pihak TNB tetapi mereka masih tidak mahu bertanggungjawab atas kesilapan tersebut.

Diharap pihak aduan rakyat dapat menyiasat perkara ini kerana saya dapati bukan saya sahaja menghadapi masalah tersebut tetapi puluhan ribu rakyat malaysia menghadapi situasi yang sama setiap bulan. Ini sangat membebankan rakyat terutama yang bependapatan rendah seperti saya.

Sekian, terima kasih

By: Intan

Bil TNB cara pos bebankan rakyat

Assalamualaikum wbt.

Saya terpanggil untuk meluahkan perasaan tidak puas hati serta mencadangankan supaya pihak TNB menghantar BIL TNB dengan cara lama kerana ianya lebih jujur dan telus serta mesra PENGGUNA. Ini kerana jika pihak TNB membuat penghantaran BIL secara pos maka jumlah penggunaan akan menjadi BANYAK yang akan tertera di bil dan ianya akan membebankan serta menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan PENGGUNA.

Saya mohon agar perkara ini di ambil berat oleh PIHAK yang berkenaan kerana bukan semua PENGGUNA banyak duit. Bukan Bil TNB sahaja yang nak di tanggung banyak lagi bil yang nak di bayar. Saya harap perkara ini diselesaikan segera. Maaf jika ada pihak yang tersinggung. Sekian Wassalam…

By: Nizam

Bil Elektrik Yang Tinggi

Saya merupakan seorang penduduk yang menyewa di salah sebuah rumah di taman perumahan yang terletak dikawasan perindustrian rawang, Selangor . Saya ingin memohon pihak tertentu membuat kajian semula berkenaan dengan takrif bagi bayaran elektrik yang dikenakan bagi setiap bulan . Ini kerana bagi saya jumlah bayaran yang dikenakan tidak berpatutan dengan penggunaan harian .

Contohnya saya merupakan seorang penjawat awam yang bekerja dari pagi hingga ke lewat malam , dan penggunaan barangan elektrik (aircond) di rumah cuma digunakan pada lewat malam . Pada waktu bekerja , rumah tiada berpenghuni dan hanya barangan elektrik seperti peti ais dan  pemanas air sahaja yang terpasang , namun jumlah barayan bil elektrik saya mencecah ke RM 150 keatas setiap bulan .

Sebelum mengetahui jumlah bayaran yang tinggi ini , bil elektrik saya cuma di bawah RM 70 sebulan , namun pada penghujung tahun 2011 saya dikejutkan dengan bil tertunggak sebanyak RM 19xx pada bil elektrik rumah sewa saya . Apabila saya merujuk kepada pihak TNB , saya diberitahu bahawa itu adalah bacaan sebenar bil elektrik rumah saya bagi tempoh setahun yang lalu dan saya dikehendaki membuat bayaran bagi bil tersebut  secara ansuran iaitu RM 500 sebulan untuk mengelakkan pemotongan bekalan elektrik.

Masalah ini sebenarnya berpunca daripada pihak TNB yang membuat bacaan meter yang sebarangan , meter elektrik bukannya terletak di dalam rumah . Sepatutnya perkara ini tidak harus terjadi yang boleh dikatakan mendatangkan masalah kepada pengguna . Oleh yang demikian mohon pihak tertentu untuk membuat kajian semula tenang takrif bayaran penggunaan elektrik yang terlalu tinggi bagi golongan kami yang berpendapatan rendah dan mohon pihak TNB agar membuat bacaan meter secara teliti bagi mengelakkan bacaan meter yang salah yang membuatkan pengguna membayar tunggakan bagi tempoh bacaan bil yang lama bagi mengelakkan masalah kepada pengguna .

By: Rabiah

Ketiadaan Bekalan Air dan Elektrik di Kuala Lipis

Merujuk kepada perkara di atas, saya seperti nama di atas mewakili penduduk kampung saya bagi membuat aduan berkenaan ketiadaan bekalan asas seperti bekalan air dan elektrik sejak lebih daripada 20 tahun.

Bagi pengetahuan pihak tuan,jumlah penduduk kampung saya ada lingkungan sekitar 10 keluarga yang selama ini hanya mengunakan bekalan air sungai untuk memasak dan membersih pakaian dan pelita pada setiap hari.

Walaubagaimanapun aduan demi aduan telah pun di buat kepada yang berwajib namun masih tiada tindakan yang di buat sehingga ke hari ini malahan kami disaran membuat pembayaran yang tinggi dan diluar kempuan kami bagi mendapat bekalan-bekalan tersebut atas alasan permintaan terlalu kecil.

Oleh yang demikian kami merayu kepada pihak tuan agar dapat mempertimbangkan serta mempertengahkan hal ini dengan kadar segera agar penduduk kampung saya bebas dari dibelenggu dengan sedemikian rupa dan merdeka selamanya.

Kg. Atong Kerambit
27200 Kuala Lipis
Pahang.

By: Mohd Khairul Bin Hussin

Kekerapan Gangguan Bekalan Elektrik di Desa Air Ibol

Saya salah seorang penduduk yang tinggal di Desa Air Ibol, Sumpitan, 33400 Lenggong, Perak. Masalah yang dialami ialah kekerapan gangguan bekalan elektrik yang sering melanda kawasan tempat tinggal saya.

Untuk makluman, kawasan tempat tinggal saya ini adalah berdekatan dengan Hutan Simpan Bintang Hijau. Kami dipindahkan oleh kerajaan ke kawasan ini setelah tempat tinggal asal diambil oleh kerajaan untuk tujuan pembesaran jalan Gerik – Kuala Kangsar. Yang menyedihkan setelah berpindah ke kawasan penempatan baharu ini, kami mengalami masalah kekerapan gangguan bekalan elektrik yang kerap melanda dan berlarutan untuk tempoh masa yang sangat lama untuk dipulihkan semula.

Keadaan ini telah berlarutan sejak 10 tahun yang lalu dan pihak TNB telah turun sendiri berjumpa saya di alamat kediaman saya. Namun sehingga hari ini masalah kekerapan gangguan bekalan elektrik ini masih berterusan. Pendududk kampung juga telah memohon kpd pihak JKKK dan ADUN supaya diberikan lampu jalan memandangkan kawasan tempat tinggal kami bersebelahan dengan Hutan Simpan Bukit Hijau. Namun sehingga ke hari ini janji hanya tinggal janji.

Setelah kami merelakan tanah asal kami diambil oleh kerajaan dan rumah kami dirobohkan atas nama pembangunan untuk rakyat, inilah balasan yang kami terima. Kami dipindahkan tetapi kebajikan kami diabaikan. Saya tidak membuat tuduhan melulu sebaliknya mencabar pihak berkaitan termasuk ADUN untuk turun dan melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh penduduk Desa Airi Ibol.

By: Noraslan bin Norasim

Lagi masalah eletrik di Pulau Banggi, Sabah

Masalah bekalan elektrik di Pulau Banggi, Kudat, Sabah masih berlanjutan. Masalah bekalan eletrik yang sering kali terputus telah menyebabkan seribu masalah dan kerugian dihadapi oleh ribuan penduduk pulau banggi.

Antara masalah biasa yang pasti dihadapi penduduk pulau banggi bilamana bekalan elektrik terputus adalah seperti panas terik didalam rumah, kegelapan di malam hari,terdedah kepada gigitan nyamuk “denggi”, keselamatan harta benda dan maruah juga terganggu, kerja tertangguh di pejabat dan banyak lagi “common problem” akan terjadi akibat daripada masalah ini yang sering berlaku dalam tempoh yang agak lama sehingga 3-4 minggu.

Dari sudut mata pandang penduduk yang menjalankan perniagaan pula, banyak kerugian terpaksa dipikul. Pengusaha restoran, kedai runcit, dan ramai lagi yang menjadi mangsa. “ice box” @ peti ais, frezer, ice cube machine, telivision dan yang sewaktu dengannya hampir kesemuanya rosak akibat masalah bekalan elektrik. kos membaikinya pula adalah terlalu tinggi dek kerana mesin-mesin tersebut terpaksa dihantar ke Bandar kudat menggunakan kapal. Upah yang dibayar kepada tenaga mahir pun tidak kurang mahalnya. kadang-kadang kos kesemuanya sampai mencecah harga sebuah freezer@beti ais yang baru.

Selain itu, dari segi sistem pembayaran bil elektrik di pulau Bangi ini juga berbeza berbanding dibandar, dan perbezaan itu sangat membebani penduduk pulau ini. Bil elektrik hanya diperolehi paling cepat 3bulan sekali dan kadang-kadang sehingga 6bulan sekali. Seorang nelayan yang berpendapatan rm300 sebulan mungkin mampu untuk membayar bil elektrik bulanan yang purata penggunaannya hanya rm50/bulan sahaja. Tetapi mampukah penduduk tadi membayar Bil yang diberikan selepas 3bulan iaitu RM150 atau lebih, (separuh daripada pendapatan), dan jumlah itu hendaklah dibayar dengan kadar segera sebelum bekalan elektrik diputuskan. bayangkan pula bil untuk 6bulan iaitu RM 300. inilah yang dihadapi oleh penduduk di Pulau Banggi.

Lanjutan daripada itu, saya juga dimaklumkan bahawa kadar bil per Watt adalah berbeza mengikut jumlah terkumpul penggunaan. Contohnya 100 unit pertama berkadar RM 0.175/unit iaitu rm 17.50, dan 100 unit yang seterusnya RM 0.185/unit iaitu RM 18.50 dan 300 unit seterusnya rm0.330/unit. Kesimpulanya kadar ini akan terus menaik mengikut jumlah unit yang terkumpul. Bayangkan berapa jumlah unit penggunaan elektrik untuk tempoh 3bulan, jumlah bayarannya sudah pasti lebih tinggi daripada bil yang dikeluarkan sebulan sekali. Sistem ini adalah tidak adil dan sangat membebani ribuan penduduk Pulau Banggi yang purata pendapatan sebulan adalah rm 350 sahaja.

Kami penduduk Pulau Banggi, Kudat Sabah. sangat mengharapkan pihak-pihak yang berkaitan (SESB, DUN N1,PEJABAT DAERAH,JKKK) agar mengambil tindakan “SEGERA” untuk mengatasi masalah ini agar kami tidak lagi terus dibebani.

Terima Kasih

By: ibnu hariffin

Masalah Bekalan Elektrik di Pulau Banggi

Masalah bekalan elektrik di Pulau Banggi, Kudat, Sabah amat kritikal, sedangkan para penduduk kampung di maklumkan bahawa Tenaga Solar Hibrid Pulau Banggi adalah antara yang terbesar dan tercanggih di seluruh Malaysia dan menelan kos perbelanjaan berjuta riggit. Tetapi kenapa setiap hari mesti berlakunya bekalan elektrik terputus dan pernah berlaku sehingga 1 minggu lebih tiada sebarang bekalan elektrik tanpa sebarang notis.

Sehingga kini masalah ini masih lagi berlaku setiap hari hingga manyebabkan penduduk di Pulau Banggi rasa tidak puas hati. Seringkali penduduk kampung mengadu masalah ini tetapi dianggap oleh sesetengah pihak perkara remeh temeh sahaja. Kami difahamkan bahawa enjin penjanakuasa elektrik tersebut baru tetapi kenapa seringkali rosak hingga menyebabkan penduduk sekitarnya mengalami masalah bekalan elektrik setiap hari.

Saya memohon daripada pihak tuan agar menjalankan siasatan mahupun tindakan yang sewajarnya keatas permasalahan ini,kerana kami penduduk Pulau Banggi dianggap buta fikiran dan buta pengaduan.Dengan ini besarlah hati kami agar pihak tuan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dengan pantas agar penduduk Pulau Banggi tidak lagi menjadi bahan permainan oleh mana-mana pihak yang beranggapan penduduk Pulau tidak akan mengambil sebarang tindakan ibarat “kerbau di cucuk hidungnya”.Daripada saya dan seluruh penduduk Pulau Banggi mmengucapkan jutaan terima kasih

By: Dolis Anak Rantai

Kecurian Elektrik di Balai Rakyat Kampung Melayu Lama

Untuk pengetahuan, umum balai rakyat telah disalahgunakan oleh sesetengah pihak yg berselindung disebalik nama Belia 4B.

Mereka menggunakan balai rakyat ini untuk bermain muzik bermula pd pukul 8/9 malam sehingga tengah malam dan bunyi muzik yang bising amat menganggu ketenteraman penduduk. Terdapat juga aktiviti-aktiviti yang mencurigakan seperti minum arak serta menghisap ganja didalam dewan tersebut.

Aduan kpd Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah dibuat, dan pihak TNB telah datang membuat pemotongan bekalan letrik, tetapi telah disambung semula dengan cara haram.

Minta pihak berwajib serta TNB ambil tindakan demi menjaga ketenteraman penduduk kampung. Sekian, Terima Kasih.

By: Abdullah Ismail

Bekalan Elektrik 24 jam di Selangau, Sibu

Salam sejahtera, salam 1 malaysia,

Saya selaku anak kelahiran di daerah yang agak terpinggir ingin menyampaikan hasrat hati penduduk pedalaman kampung Arip (dareah Selangau, Sibu, Sarawak) Setelah sekian lama, pihak kami begitu mendambakan bekalan elektrik sepertimana kawasan lain. Bukankah agak keterlaluan jika pihak terbabit terlepas pandang kawasan yang terletak betul2 berdekatan dengan jalan raya utama sibu-bintulu tidak mendapat bekalan elektrik sedangkan berpuluh-puluh tahun jalan raya terbina.

Apa yang menyedihkan, kawasan tersebut adalah kawasan yang tidak oernah berpaling tadah dari kerajaan.pihak masyarakat yang menaruh harapan yang tinggi terhadap kerajaan hinggakan tidak pernah sekalipun ditewaskan. Jadi apakah yang dapat penduduk kami perolehi? Jika dipersoalkan kesabaran, rasanya penantian ini agak melampau bagim penduduk.Bayangkan harga minyak tanah & minyak diesel untuk generator yg terpaksa ditanggung oleh masyarakat pedalaman.taraf sosial turut terbantut , banyak perkara yang tidak dapat dinikmati untuk kemudahan penduduk.bahkan , penggunaan pelita minyak tanah masih sangat meluas.Bukankah risiko yang tinggi untuk terjadinya kebakaran di rumah2 panjang?

Mohon perhatian pihak terbabit memandang serius perkara ini, kami tidak berniat memalukan atau merendahkan pihak terbabit, tetapi memohon jasa baik. perhatian untuk memberikan kemudahan yang selayakkya diperolehi setelah sekian lama menanti.Bukankah projek hidroelektrik Bakun ada?

Penduduk di Arip sangat2 menantikan kemudahan ini bagi meringankan beban dan memperbaiki taraf hidup .Bekalan elektrik tidak sepatutnya ditumpukan di kawasan berkepentingan dari segi industri semata-mata, kami golongan masyarakat kampung juga banayak menyumbang kepada kerajaan.

By: Inya

Masalah Bekalan Elektrik di Daro, Mukah, Sarawak

Salam 1Malaysia,

Kami amat berasa terbeban dengan masalah bekalan elektrik yang selalu terputus di daerah kami, Daro, Mukah, Sarawak semenjak setahun yang lalu. keadaan ini amat memeritkan apabila bekalan elektrik ini terputus hampir setiap hari. Kadang-kadang memakan masa seharian untuk baik seperti sedia kala. Tetapi keadaan yang sama berulang pada keesokan harinya dan berulang dari hari ke hari.

Keadaan ini amat membebankan kami dan seluruh penduduk di sini. Cuaca yang panas setiap hari menyebabkan kami semakin perit menunggu bekalan elektrik untuk pulih seperti sedia kala. Kerja-kerja harian juga terjejas teruk. Selalunya pada hari minggu, bekalan elektrik akan mula terputus seawal jam 8 pagi dan pulih semula pada jam 5 atau 6 petang. Bayangkan keadaan yang sama berlaku hampir setiap hari.

Beberapa aduan telah dihantar, namun masalah yang sama tidak juga selesai. Kami berasa terkilan apabila masalah ini dipandang remeh pihak atasan. Kami terhimpit dengan masalah ini hampir setahun yang lalu dan kami tidak ingin masalah ini terus-menerus menjejaskan aktiviti harian kami penduduk sekitar. Kami memohon kerjasama pihak Aduan Rakyat untuk menyelesaikan masalah kami ini. Kerjasama dan keprihatinan dari pihak anda amat kami harigai, terima kasih.

By: Nasyilla Awang